Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Foto MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini memberi amaran kepada orang ramai mengenai taktik penipuan pelaburan ‘deepfake’ yang dicipta melalui kecerdasan buatan (artificial intelligence/AI) untuk menyamar sebagai individu dan nama syarikat terkemuka.

Dalam kenyataannya hari ini, SC berkata, ia telah menemui beberapa video ‘deepfake’ di Facebook baru-baru ini.

Pelaku penipuan ini biasanya memulakan aktiviti penipuan dengan menyiarkan video ‘deepfake’ pada platform media sosial, yang kemudiannya boleh disebarkan melalui app pemesejan.

Video ini ‘menampilkan’ tokoh awam atau syarikat tertentu, dalam usaha untuk memberi kredibiliti kepada usaha mereka.

“Melalui penggunaan teknologi AI, video itu dimanipulasi untuk hampir menyerupai suara tokoh awam ini, termasuk pergerakan bibir, menjadikan peluang pelaburan tersebut kelihatan tulen.

“Biasanya, video ‘deepfake’ ini juga akan mempromosikan pelaburan yang kononnya ditawarkan oleh syarikat yang bereputasi,” tambahnya.

Posting tersebut juga mempunyai butang atau pautan ‘Ketahui Lebih Lanjut’, yang membawa pihak yang berminat ke halaman pendaftaran bagi mengumpulkan maklumat peribadi mereka.

Katanya, orang ramai yang tidak peka dan terus mengakses pautan itu akan diminta memuat turun aplikasi, yang mana ia mendedahkan mereka kepada risiko jenayah siber.

Setelah mendaftar, bakal mangsa akan dihubungi oleh ejen yang kemudian menipu mereka, dengan meminta untuk memindahkan wang atau memberikan butiran peribadi selanjutnya.

“SC, dengan bantuan Meta, telah menurunkan video sedemikian untuk mengekang akses kepada pihak awam yang mungkin menjadi mangsa penipuan ini,” katanya.

Di samping itu, SC juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap aktiviti penipuan pelaburan tersebut.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam menilai tawaran pelaburan, termasuk memastikan mereka tidak memindahkan atau mendepositkan wang ke dalam akaun yang mencurigakan.

Pihak awam juga digalakkan untuk mengesahkan tawaran pelaburan melalui SC Investment Checker di www.sc.com.my/investment-checker. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast