KUALA LUMPUR – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa banyak isu warga kota terutamanya membabitkan golongan B40 masih terbengkalai kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak efisien menanganinya sehingga kini.
Antara isu-isu yang paling membimbangkan ialah masalah lif rosak di PPR Desa Rejang yang sudah berlarutan sebelum Covid-19 lagi namun sehingga hari ini perkara itu masih lagi menghantui 18,000 orang penduduk.
Presiden Pertubuhan Pergerakan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur, Hussen Zulkarai mendakwa pihaknya serta ratusan persatuan penduduk telah berkali-kali mengajukan aduan kepada Datuk Bandar namun tidak mendapat perhatian sewajarnya.
Hussen mendakwa, pihaknya difahamkan DBKL sudah memberikan kontrak penyelengaraan lif kepada sebuah syarikat pada hujung tahun lepas untuk menyelenggara dengan peruntukkan besar namun sehingga hari ini langsung tidak nampak apa-apa.
“Persatuan penduduk memaklumkan kepada kita syarikat lantikan Datuk Bandar ini bermasalah, sebelum ini syarikat sama tidak berjaya siapkan kerja hanya menukar enam buah lif walaupun syarikat itu telah dikenakan penalti oleh DBKL sejak 2023 lagi.
“Tetapi syarikat yang sama telah kembali diberikan projek lif iaitu menukar 36 buah lif di PPR Desa Rejang yang kerjanya sehingga kini belum mula walaupun sudah dilantik pada Disember tahun lepas.
“Enam lif pun tidak boleh buat tapi lantik lagi mengapa? Kasihanilah penduduk PPR itu. Bayangkan keperitan OKU, warga emas, kanak-kanak,” katanya sebelum menyerahkan aduan kepada Istana Negara di sini hari ini.
Kata Hussen lagi, selain isu berkait lif, masalah lain termasuklah isu pengurusan syarikat sampah yang tidak efisien sehingga menyebabkan sampah terbiar berhari-hari selain berselerak di tepi-tepi kedai dan jalanan.
Selain di kawasan PPR itu, warga kota didakwa berdepan dengan banyak jalan berlubang di sekitar Dataran Merdeka namun tidak diselanggara atau dibaiki.
“Ada lagi isu tadika anak-anak kecil dipenuhi air kumbahan dan najis di Blok M, PPR Desa Rejang tapi langsung tidak buat apa-apa sehingga tadika itu terpaksa ditutup sementara waktu.
Banyak dewan orang ramai sekitar KL yang sepatutnya bawah jagaan DBKL juga tidak diselenggara dengan baik walhal kemudahan itu dibina untuk kegunaan penduduk.
“Banyak lot parkir terutamanya yang bertingkat juga berada dalam keadaan teruk tidak dibaiki atau diselanggara sedangkan itulah kerja hakiki DBKL.
“Jika hendak bercakap tentang isu-isu warga KL ini 12 jam pun tidak cukup sebenarnya. Tapi apa yang kita kesalkan walaupun banyak aduan ini langsung tidak dipandang,” tegasnya.
Susulan itu, pihaknya telah membuat keputusan untuk membuat aduan terus kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.
Tindakan ini dibuat kerana mendakwa golongan B40 warga kota seperti tidak ada tempat untuk mengadu kerana Datuk Bandar, menteri sering bertukar. Tiada pemerintah tetap. Tapi masalah berterusan menghantui penduduk.
“Isu-isu kita ketengahkan ini sangat penting kerana langsung tidak dipandang oleh Datuk Bandar. Aduan sudah buat, rayuan juga sudah. Bukan sekali, banyak kali tetapi sehingga kini tidak mendapat apa-apa maklum balas positif.
“Kerana itulah kita dengan rendah diri menyampaikan aduan kepada YDPA yang terkenal dengan sifat peduli rakyat, kita sudah lihat sendiri ketika baginda memerintah Johor. Kita mohon ihsan baginda campur tangan memandangkan Datuk Bandar tidak kisah dengan golongan bawahan,” ujarnya. – MalaysiaGazette