Saroja (tengah) mengadu masalahannya kepada Presiden Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Tamilar Kural Malaysia, N Sarawanan (kiri) di Johor Bahru kelmarin

JOHOR BAHRU – Tular sebuah video dalam TikTok berkenaan seorang warga emas hilang barang kemas bernilai RM9,000 ketika dirawat di Hospital Sultanah Amanah (HSA) di sini bulan lalu.

Video berkenaan tular sejak kelmarin mendakwa kes kecurian itu semasa warga emas tersebut mendapat rawatan di bahagian kecemasan HSA dan didakwa berlaku semasa keadaannya tidak stabil antara 22 hingga 25 Julai lalu.

Video berkenaan mendapat perhatian netizen dan ada beberapa daripadanya menyatakan pengalaman masing-masing berdepan dengan insiden sama ketika menerima rawatan di HSA.

Mangsa, P Saroja, 63, mendakwa, dia hanya menyedari kehilangan rantai emas tersebut serta wang tunai RM200 pada pukul 3.30 petang pada 25 Julai lalu.

Sejurus itu Ibu kepada tujuh cahaya mata berkenaan bertanya kepada kakitangan di bahagian kecemasan HSA namun tidak menerima jawapan yang jelas.

Malah dia juga dimaklumkan kamera litar tertutup (CCTV) di Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT) HSA tidak berfungsi.

“Saya bukan sengaja memakai barang kemas ke hospital pada awalnya saya hanya ke klinik kesihatan berhampiran rumah di Taman Universiti di sini namun disebabkan darah tinggi secara tiba-tiba terpaksa menaiki ambulans ke HSA.

“Hampir empat hari saya dalam keadaan tidak stabil sebelum menyedari kehilangan barang kemas dan wang.

“Ahli keluarga saya juga berusaha bagi mendapatkan penjelasan pihak pengurusan namun gagal,” katanya ketika dihubungi.

Saroja berkata, rantai emas itu yang seberat kira-kira 24 gram adalah peninggalan mendiang ibu mentuanya dan mempunyai nilai sentimental selain bercadang untuk menghadiahkannya kepada waris terdekat.

Susulan itu dia membuat laporan di Balai Polis Sentral di bandar raya ini pada 1 Ogos lalu supaya kejadian berkenaan disiasat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan menerima laporan daripada mangsa dan sedang menyiasat kes berkenaan.

Sementara itu, Pengarah HSA, Dr Sal Atan dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya maklum berkaitan dengan video tular tersebut menerusi Tiktok milik individu bernama @sarawanannagayah yang dimuat naik kelmarin.

Menurutnya, CCTV tidak dipasang di JKT HSA bagi menjaga privasi pesakit namun siasatan lanjut berkaitan isu itu sedang dijalankan.

“Pihak pengurusan hospital juga akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis jika memerlukan siasatan lanjut.

“Pihak pengurusan HSA sentiasa komited dan berusaha untuk meningkatkan kepuasan hati pelanggan dan imej hospital dalam memberikan perkhidmatan perawatan yang terbaik,” jelasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast