KUALA LUMPUR – Nippon Sushi Group menafikan dakwaan yang mengaitkan syarikat itu dengan pertubuhan yang terlibat dalam aktiviti tidak mematuhi undang-undang atau berlawanan dengan nilai masyarakat.
Menurut satu kenyataan, francais makanan Jepun tempatan itu juga tiada sebarang hubungan dengan entiti pertubuhan terbabit.
“Antara nama-nama syarikat di bawah jenama Nippon Sushi, termasuk Ar Raiyyan Sushi Sdn Bhd dan As Syakirin Sushi Sdn Bhd yang dipilih berdasarkan nama anak-anak pengasas kami.
“Manakala, nama Al Ikhwan Sushi Sdn Bhd dipilih dengan maksud yang lebih mendalam, iaitu ‘persahabatan’ yang mencerminkan hubungan erat dan kerjasama yang kami bina dengan rakan-rakan pemegang saham lain.
“Kami juga komited untuk menjalankan perniagaan dengan integriti, mematuhi semua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan,” katanyanya, hari ini.
Nippon Sushi berkata, matlamatnya adalah untuk menyediakan makanan yang memenuhi selera pelanggan serta memastikan operasi francais makanan itu sentiasa selaras dengan nilai dan prinsip yang murni.
“Sekiranya ada sebarang kekeliruan atau pertanyaan lanjut, pihak kami sedia untuk memberikan penjelasan dan maklumat yang lebih terperinci. Terima kasih atas kepercayaan dan sokongan anda kepada Nippon Sushi,” ujarnya. – MalaysiaGazette