Karnival 3 Dekad IWK cucian lestari Indah Water Konsortium
Upacara Perasmian Ops Sedut Tangki Septik bersama Pegawai Daearah Kulim, Mohd Zaini Ramli (di tengah berbaju kurta putih); Ahli Dewan Undangan Negeri Merbau Pulas, Dato’ Siti Aishah Binti Haji Ghazali (bertudung coklat muda dan baju coklat gelap); Penolong Pengarah Kanan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Wilayah Utara, Saminathan A/L Narayanan (baju kemeja lengan pendek coklat gelap); Ketua Jabatan Perniagaan Nyahenap Cemar IWK, Pauzi Mohamed (baju kemeja tangan pendek berwarna putih), Ketua Wilayah Utara,Jabatan Perniagaan Nyahenap Cemar; Wan Abdul Jalil Wan Husin (baju kemeja lengan pendek baju biru muda); kakitangan IWK dan penduduk Mukim Karangan, Kulim Kedah

KULIM – Dalam meningkatkan lagi kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengosongan tangki septik, syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd hari ini telah mengadakan Karnival 3 Dekad IWK Memelihara Kesejahteraan Rakyat bersama penduduk Mukim Karangan, Kulim, Kedah.

Program ini adalah antara aktiviti kesedaran yang dibuat bagi memberi penjelasan yang lebih teliti mengenai “Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021”.

Di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, semua pemilik, pengurusan, atau penghuni premis yang mempunyai tangki septik perlu menjalankan nyahenap cemar secara berjadual.

Demo pengosongan tangki septik palong oleh kakitangan IWK

Ketua Jabatan Perniagaan Nyahenap Cemar IWK, Pauzi Mohamed, berkata, melalui program kesedaran Ops Sedut, IWK dapat mendekati masyarakat setempat dan menyampaikan maklumat mengenai kepentingan pengosongan tangki septik.

“Sempena 30 tahun penubuhan IWK, kami terus komited dalam memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara demi kesejahteraan rakyat. Bagi premis yang mengunakan sistem pembetungan tangki septik individu, pengguna hendaklah faham yang tangki ini berfungsi sebagai tangki yang menerima air sisa kumbahan dan mempunyai kapasiti rawatan yang terhad.

“Sekiranya tidak dikosongkan, ia boleh menyebabkan air sisa kumbahan tidak dirawat dan seterusnya mengalir ke sungai atau perairan sehingga boleh mencemarkan sumber air negara. Sisa kumbahan hendaklah dilupuskan dengan cara yang selamat bagi mengelakkan berlakunya penyebaran penyakit bawaan air,” katanya ketika berucap di program berkenaan.

Demo pengosongan tangki septik palong oleh kakitangan IWK Indah Water
Demo pengosongan tangki septik palong oleh kakitangan IWK

Program ini dirasmikan oleh Pegawai Daerah Kulim, Mohd Zaini bin Ramli. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Merbau Pulas, Yang Berhormat Dato’ Siti Aishah Binti Haji Ghazali; Penolong Pengarah Kanan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Wilayah Utara, Saminathan A/L Narayanan; Pegawai PerubatanPejabat Kesihatan Daerah, Dr Siti Nor Khamariah Ramli, dan wakil PERKESO Kulim, Ahmad Rizwan Hassan Bin Basroh.

Kira-kira 500 penduduk daripada sepuluh kampung di mukim berkenaan telah hadir dalam menyaksikan demo pengosongan tangki septik serta cucian lestari yang dijalankan IWK.

Cucian lestari adalah kaedah terbaik bagi mengelak lebihan minyak atau lemak daripada memasuki saluran pembetungan yang boleh mendatangkan pelbagai masalah.

Menurut Pauzi, di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, semua pemilik, pengurusan, atau penghuni premis yang mempunyai tangki septik perlu menjalankan nyahenap cemar secara berjadual. Kegagalan mematuhi peraturan ini merupakan satu kesalahan di bawah subseksyen 65(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM50, 000.

“Di Malaysia, terdapat kira-kira 1.35 juta pengguna tangki septik yang mana ianya perlu dikosongkan secara berkala iaiti sekurang-kurangnya sekali dalam dua tahun. Adalah diharapkan program libat urus bersama komuniti dapat meningkatkan lagi kesedaran kepada semua pemilik tangki septik untuk menjalankan tanggungjawab mengosongkan tangki demi alam sekitar,” tambah Pauzi.

Persembahan silat oleh penduduk Mukim Karangan untuk memeriahkan lagi karnival
Persembahan silat oleh penduduk Mukim Karangan untuk memeriahkan lagi karnival IWK

Menurut Ketua Wilayah Utara, Jabatan Perniagaan Nyahenap Cemar Wan Abdul Jalil Wan Husin, program ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk kampung dan sehingga hari ini, sebanyak 250 premis yang telah mendaftar dengan IWK untuk mendapatkan perkhidmatan pengosongan tangki septik.

Di samping demo pengosongan tangki septik, pelbagai aktiviti menarik turut tersedia termasuk sukan rakyat, aktiviti jalan 10,000 langkah, taklimat daripada penceramah jemputan, pertandingan mewarna dan pertandingan gubahan. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Karnival 3 Dekad IWK: Ops sedut tangki septik di Kulim

SPAN lantik IWK naik taraf 636 loji rawatan kumbahan

IWK buat teater amal ‘Najis Jadi Teman’ untuk didik masyarakat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast