BATU PAHAT – Seramai 33 penduduk tinggal sehelai sepinggang selepas lapan buah rumah sewa di Kampung Parit Semarang, di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.
Namun kejadian pada pukul 8.45 pagi itu tidak mengakibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana semua penghuni sempat menyelamatkan diri.
Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Mohd Shamin Mohamed Salikin berkata, seramai 17 anggota dari BBP Ayer Hitam serta BBP Penggaram dikejarkan ke tempat kejadian.
“Mereka dibantu dua buah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah lori tangki dan sebuah utiliti dalam operasi memadam kebakaran tersebut.
“Kebakaran melibatkan rumah sewa satu tingkat jenis separuh kekal,” katanya dalam kenyataan.
Pihak bomba katanya, bertindak memadamkan kebakaran dengan dua aliran 200 kaki dua pancutan dari sumber air dari pam jentera dan pili bomba berdekatan.
Mohd Shamin berkata, kejadian tersebut mengakibatkan kira-kira 70 peratus keseluruhan rumah sewa berkenaan musnah dalam kebakaran.
Ujarnya, 15 mangsa daripada tiga buah keluarga ditempatkan di Balai Raya Bukit Kuari sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).
“(Seramai) 18 mangsa daripada lima keluarga dipercayai tinggal di rumah saudara terdekat berhampiran Kampung Parit Lapis Semarang,” katanya. – MalaysiaGazette