KUANTAN – Seorang peniaga warganegara Indonesia didenda RM6,000 di Mahkamah Majistret Kuantan, di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki sijil lahir individu lain dan kad pengenalan palsu.
Tertuduh, Indah Aryani, 36 membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa telah mengemukakan maklumat palsu dalam butir material ketika semakan dibuat keatas kad pengenalan dimilikinya semasa operasi dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 26 Januari 2025 di Kampung Kempadang, di sini.
Bagi kesalahan terbabit, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Pahang, Burhanuddin Hamzah, manakala tertuduh diwakili peguam.
Menurut fakta kes, tertuduh tertuduh telah menyerahkan satu pasport Indonesia atas nama Indah Aryani ketika diminta berbuat demikian dalam satu operasi dijalankan JPN.
Bagaimanapun, ketika semakan melalui alat unit terminal mudah alih (MTU) mendapati, cap ibu jari tertuduh merujuk kepada penama Sitti Nor Elyana Binti Abdul Kadir.
Tertuduh telah diminta pihak JPN mengeluarkan fizikal kad pengenalan dan dia telah mengeluarkan kad pengenala tersebut.
Berdasarkan keterangan lisan tertuduh pula, dia mengaku telah membeli sijil kelahiran atas nama orang lain dan menggunakan sijil kelahiran itu untuk mendapatkan kad pengenalan. – MalaysiaGazette
















