ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan masalah gangguan bekalan air beberapa hari lalu bertujuan sabotaj Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diadakan selama tiga hari di Johor Bahru.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, dakwaan itu tidak berasas sama sekali.
“Sabotaj? Tiada kerja, tak adalah kita rajin nak sabotaj (Kongres Nasional PKR),” katanya ringkas ketika diajukan dakwaan tersebut oleh pemberita di pekarangan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.
Sehubungan itu, pihaknya akan meneliti dan menambah baik sebarang kekurangan dalam prosedur operasi standard (SOP) berkaitan gangguan bekalan air di negeri ini.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri sudah mengenal pasti beberapa kelompongan yang menjadi punca gangguan bekalan air yang berlaku di sekitar Johor Bahru itu.
Mohamad Fazli berkata, pihaknya menyerahkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (Petra) untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Kes ini telah pun dilaporkan kepada SPAN dan Petra. SPAN juga telah turun padang untuk memantau situasi dan kita akan tunggu tindakan lanjut daripada mereka.
“Saya sendiri akan berhubung terus dengan SPAN dan pihak kementerian untuk melihat bentuk tindakan yang boleh diambil sama ada dari segi kelemahan SOP atau terhadap pihak operator yang terlibat,” katanya.
Beliau memberitahu, kerosakan di LRA Sungai Johor itu merupakan satu insiden yang jarang berlaku sehingga menjejaskan 155,074 akaun pengguna air di Johor Bahru dan Iskandar Puteri.
“Wujud kesilapan dalam komunikasi apabila masalah kerosakan pam telah diketahui lebih awal, namun kegagalan syarikat pengendali air mengeluarkan notis pemakluman gangguan bekalan kepada pengguna, menyebabkan berlakunya gangguan air lebih lama.
“Jika dimaklumkan awal, pengguna dapat membuat persediaan termasuklah menyimpan bekalan air dan bukan digunakan pada kadar biasa sehingga berlaku gangguan bekalan meluas,” ujarnya.
Sehubungan itu, pihaknya akan meneliti dan menambah baik sebarang kekurangan dalam prosedur operasi standard (SOP) berkaitan gangguan bekalan air di negeri ini.
Menurut Mohamad Fazli, kerajaan negeri turut mengambil langkah segera dengan membuka paip di kawasan berhampiran untuk menyelamatkan lebih 11,000 akaun pengguna pada hari pertama kejadian.
“Antara penambahbaikan yang dikenal pasti termasuk menambah bilangan lori tangki dan lokasi pengisian air (filling point) yang masih tidak mencukupi ketika berlaku gangguan besar,” katanya.- MalaysiaGazette
















