Delegasi Malaysia berada di Nairobi, Kenya bagi mengadakan beberapa siri pertemuan dua hala di Ibu Pejabat UN-Habitat. - Facebook/Nga Kor Ming
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengetuai delegasi Malaysia bagi mengadakan beberapa siri pertemuan dua hala di Ibu Pejabat UN-Habitat di Nairobi, Kenya. Foto KPKT

KUALA LUMPUR – Malaysia kini berada di pusingan akhir dalam misi untuk membida jawatan Presiden Perhimpunan Agung UN-Habitat bagi penggal 2025–2029.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam kenyataan memaklumkan, Menterinya, Nga Kor Ming mengadakan beberapa siri mesyuarat dua hala di Ibu Pejabat UN-Habitat di Nairobi, Kenya bersama wakil dari Mexico bagi mengukuhkan sokongan dan berkongsi pandangan berkaitan pencalonan Malaysia, pada Rabu

Beliau yang mengetuai delegasi Malaysia turut mengadakan pertemuan bersama Timbalan Setiausaha Hal Ehwal Pelbagai Hala dan Hak Asasi Manusia Mexico, Enrique Javier Ochoa, bagi mempelajari pengalaman Mexico selaku Presiden Perhimpunan UN-Habitat sejak 2019 dan akan tamat penggal tahun ini

Turut serta dalam delegasi Malaysia ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira M Noor Azman Taib dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Republik Kenya, Ruzaimi Mohamad.

“Malaysia kekal komited untuk meneruskan momentum kerja cemerlang dan impak positif yang telah dicapai sepanjang tempoh kepimpinan terdahulu. Kami akan terus teguh dalam memperkukuh kerjasama pelbagai hala melalui platform ini demi dialog yang membina dan hasil yang bermakna,” kata Nga.

Perhimpunan Agung UN-Habitat ialah badan pembuat keputusan tertinggi dalam sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan urbanisasi mampan dan penempatan manusia. Ia bersidang setiap empat tahun untuk menetapkan isu utama dan keutamaan dasar bagi kerja-kerja UN-Habitat.

Jawatan Presiden Perhimpunan ini digilirkan mengikut kumpulan serantau dalam sistem PBB.

Presiden semasa berasal dari rantau Amerika Latin dan Caribbean, diwakili oleh Mexico. Presiden seterusnya akan datang dari rantau Asia-Pasifik dan akan berkhidmat selama empat tahun, bermula 2025 hingga 2029.

Pada masa yang sama, Malaysia turut dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala bersama Azerbaijan, Iran dan Brazil.

Penglibatan Malaysia di Nairobi merupakan satu langkah strategik ke hadapan dalam merealisasikan visinya untuk pembangunan bandar yang inklusif, mampan dan inovatif melalui kepimpinan di platform UN-Habitat.

“Melalui mesyuarat dua hala ini, kami berharap dapat memperkukuh kehadiran negara di pentas antarabangsa, khususnya dalam aspek pembangunan bandar mampan,” ujar Kor Ming. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast