Mangsa (gambar kecil) ditemui kira-kira 30 meter dari lokasi kenderaan yang terjatuh di kawasan tebing Titi Serong, Balik Pulau hari ini.

BALIK PULAU – Kehilangan seorang warga emas berusia 79 tahun yang dilaporkan anaknya semalam terjawab selepas dia ditemui terperosok di celah batu kira-kira 30 meter dari tebing di kawasan Titi Serong di sini, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Balik Pulau, Anas Shadzwan Saad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai terjunam dari tebing setinggi lima meter.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan seorang lelaki warga emas dalam keadaan lemah serta terperosok di celah batu pada jarak kira-kira 30 meter dari lokasi kenderaan tersebut terjatuh.

Anggota bomba dengan bantuan orang awam mengangkat mangsa dari lokasi dia ditemui untuk diserahkan kepada petugas kesihatan.

“Mangsa mengalami kesan calar pada anggota badan dan hanya mampu memberikan respon dengan mengangguk-anggukkan kepala apabila dihampiri.

“Susulan itu, kita segera mengangkat mangsa menggunakan pengusung sebelum menyerahkannya kepada petugas kesihatan untuk dibawa ke hospital bagi tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, tempoh sebenar mangsa berada di lokasi kejadian belum dapat dipastikan memandangkan mangsa tidak dapat memberi respon sepenuhnya ketika ditemui.

Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki memohon bantuan orang ramai untuk mengesan bapanya Teh Seng Keat, 79, yang dilaporkan hilang sejak 5.30 petang semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast