Pengarah SWCorp Negeri Pahang, Sharudin Hamid

KUANTAN – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan memperkasa pelan tindakan komprehensif dalam mempertingkat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam menerusi Kerangka Malaysia Bersih MADANI 2026-2030.

Menurut Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid, antara enam fokus utama yang akan dikuatkuasakan termasuk penggunaan meluas teknologi kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata, pelaksanaannya dijangka turut melibatkan pemantauan berasaskan satelit bagi penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, efisien dan berkesan.

“Menerusi kerangka yang dibuat ini, saya beri contoh kita mungkin akan lihat aktiviti pemantauan proses lori mengutip sampah dan pemotongan rumput menerusi AI.

“Selain itu, pihak konsesi di bawah SWCorp juga telah diarah untuk membuat kajian mengenai penggunaan kenderaan elektrik (EV) berteknologi tinggi contohnya seperti EV Compactor dan EV Roadsweeper.

“Jadi, dalam masa terdekat, kita akan lihat penggunaan kenderaan EV akan lebih meluas di kawasan-kawasan melibatkan bandar dan pulau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Sambutan Hari Ualng Tahun Perbadanan Kali ke-17 Peringkat Negeri Pahang di Menara Kuantan 188, di sini hari ini.

Program tersebut dimulakan dengan aktiviti mendaki tangga Menara Kuantan 188 bersama 68 pelajar daripada 17 sekolah dari seluruh negeri Pahang sebagai simbolik ulang tahun SWCorp ke-17.

Sharudin berkata, penglibatan pelajar sekolah dalam program sambutan hari ini juga bertujuan menerapkan kesedaran budaya menjaga kebersihan yang merupakan tanggungjawab setiap individu.

“Menerusi inisiatif ini, anak-anak murid ini akan membawa budaya menjaga kebersihan dan kitar semula ini sehingga selepas sekolah agar ia menjadi suatu kebiasaan.

“Selain itu, SWCorp Pahang juga mahu meningkatkan kadar kitar semula kepada 40 peratus di negeri ini menerusi usahasama dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Menara Kuantan 188,” katanya.

Tambah Sharudin, SWCorp kekal komited untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya penjagaan alam sekitar serta memperkukuh usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, indah dan sejahtera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast