JOHOR BAHRU – Seorang guru Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengharumkan nama negara apabila menjuarai Kejohanan Urut Eropah di Paris, Perancis mulai 20 Mei hingga 27 Mei lalu.
Jurulatih dan Tenaga Pengajar Dalam Bidang Urutan di Kemas, Rosmawati Ishak, 41, berkata, Siti Hajar Mahmud, 37, yang berasal dari Changlun, Kedah, melakar sejarah tersebut selepas menewaskan 258 peserta daripada 47 negara dunia.
“Secara keseluruhannya sebanyak tujuh kategori dipertandingkan termasuk Wellness & Relaxation Massage, Sports International, Asean Massage and Western Traditions.
“Seramai 14 peserta berusia antara 20 hingga 50-an mewakili negara ini dan daripadanya seramai 12 berjaya menjadi 10 peserta utama terbaik di pelbagai kategori.
“Siti Hajar yang menjadi tenaga pengajar dalam bidang jahitan menjadikan bidang urutan sebagai kerjaya tambahan dan menerusi kemahiran urutan dipamerkan di kejohanan dunia itu, dia menonjolkan kreativiti serta sentuhan yang merehatkan fizikal dan mental.
“Beliau merupakan ibu kepada empat anak dan kejayaan ini semoga menjadi inspirasi bagi wanita lain kerana bidang ini bukan saja bagi kita menambah pendapatan malah boleh menempa nama di persada dunia,” katanya ketika ditemui hari ini.
Pengasas QRose Academy itu berkata, selain Siti Hajar, dia sebagai juru latih dan peserta berjaya muncul sebagai pemenang ketiga dalam kategori urutan Asian Traditional manakala pemilik spa, Mohd Abiddin Ahmad, 41, muncul sebagai pemenang ketiga Western Traditions.
Menurutnya, usahawan, Lyindah Ambatik, 43, muncul sebagai pemenang tempat ketiga dalam Sport International.
Ujarnya, setiap peserta dari negara ini berjaya menonjolkan adab dan kesopanan hingga ia mencuri perhatian juri.
“Menerusi penyertaan kumpulan dari negara ini, urutan Melayu lebih dikenali ramai kerana keistimewaannya adalah kaedah terapeutik akan dapat melepaskan ketegangan dalam otot dan bahagian tubuh.
“Peserta negara ini mencatat rekod baharu kerana penyertaan paling ramai dalam kejohanan dunia kerana pada tahun lalu hanya saya menjadi peserta tunggal dan muncul sebagai peserta terbaik di tempat keempat,” katanya.
Rosmawati berkata, selepas menganjurkan South East Asia Massage Championship (Kejohanan Urut) Asia Tenggara 2025 pada Januari lalu di Kuala Lumpur, pihaknya bakal menganjurkan kejohanan Malaysia Massage Championship 2025 di Johor pada Ogos depan.
“Kami mensasarkan 150 penyertaan dari seluruh negara. Kami juga sudah menerima penyertaan kumpulan peserta dari Filipina, Thailand, Bangladesh, Vietnam dan Brunei,” katanya.- MalaysiaGazette
















