KUANTAN – Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) akan memantau perkembangan Projek Rumah Makmur di Kampung Tiram, di sini, yang didakwa terbengkalai.
Menurut LPHP, pihaknya telah membuat lawatan tapak ke projek berkenaan pada 14 April 2025 bagi menilai status semasa pembinaan.
“Hasil lawatan tersebut telah direkodkan dalam satu laporan penemuan dan dikemukakan kepada pihak pemaju, Nilaitek (M) Sdn. Bhd., bertarikh 22 April 2025 untuk tindakan penambahbaikan segera,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam laporan itu, LPHP memohon agar pemaju menambah bilangan pekerja di tapak bagi memastikan kerja-kerja pembinaan dapat berjalan lancar dan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Menurut LPHP, Projek Rumah Makmur Kampung Tiram melibatkan pembangunan Fasa 1 yang merangkumi 286 buah rumah yang mana sehingga Mac 2025, kemajuan kerja-kerja fizikal di tapak telah mencapai 44 peratus.
“Keseluruhan projek dijangka siap menjelang Mac 2026, tertakluk kepada kelulusan teknikal serta pelaksanaan yang lancar oleh pihak pemaju dan agensi berkaitan,” tambahnya.
Sementara itu, LPHP mengambil maklum beban kewangan yang ditanggung pembeli, terutamanya mereka yang telah mula membuat bayaran pinjaman perumahan.
Sehubungan itu, katanya, LPHP akan memantau kemajuan projek terbabit dan akan melaksanakan tindakan susulan yang sewajarnya.
“Sekali lagi kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan akan terus berusaha memastikan setiap projek perumahan di bawah seliaan LPHP berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Pembeli kecewa Projek Rumah Makmur Kampung Tiram terbengkalai
















