Kenderaan Toyota Vios milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) keluar dari perkarangan kediaman milik seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri selepas lebih 7 jam merekod keterangan di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 19 JUN 2025

KUALA LUMPUR – Pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat meninggalkan lokasi kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri pada pukul 4.34 petang selepas hampir tujuh jam merakam keterangannya.

Hari ini merupakan pengambilan keterangan kali ketiga berhubung siasatan penyelewengan dana pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Terdahulu, sebuah kereta jenis Toyota Vios membawa dua pegawai penyiasat SPRM dilihat tiba di kediaman Tan Sri terbabit sekitar pukul  9.10 pagi.

Kawasan berkenaan turut dikawal ketat anggota polis bantuan yang meletakkan kon penghadang untuk menghalang kehadiran orang awam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini memaklumkan, proses merakam keterangan individu terbabit disambung pada Khamis selepas dua sesi awal pada 11 dan 12 Jun lalu.

Difahamkan, Pasukan Taktikal Khas SPRM (ACTS) turut dikerah dalam proses penggeledahan kediaman tersebut susulan maklumat bahawa premis berkenaan mungkin menyimpan senjata api.

Setakat ini, SPRM telah menyita aset dalam negara bernilai kira-kira RM141 juta, manakala aset bernilai RM15 juta di luar negara masih dikesan.

Pecahan sitaan melibatkan antara lain, akaun individu RM4.5 juta, akaun syarikat RM33 juta, kondominium mewah dan tanah RM24.5 juta, jam tangan mewah RM26 juta, sembilan kereta mewah RM7.65 juta serta barangan kemas dan berlian bernilai RM10 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast