KUALA LUMPUR – Penggunaan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI) akan menjadi antara keutamaan dalam memperkasa sistem kepolisan negara pada masa depan.
Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pelaksanaan AI perlu diberi perhatian serius bagi memastikan pasukan keselamatan negara kekal relevan dalam era digital.
“Pelaksanaan dan penggunaan Artificial Intelligence ini adalah isu yang saya rasa perlu diketengahkan supaya pasukan kita lebih advance di masa-masa yang akan datang.
lKita dapat menangani semua permasalahan yang timbul, sama ada dalam bentuk jenayah atau apa jua ancaman yang akan ada kepada kita di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Perbarisan Persaraan & Paluan Berundur di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, hari ini.
Jelas beliau, penggunaan teknologi akan digerakkan selari dengan usaha pemodenan pasukan agar perkhidmatan kepolisan lebih efisien dan cekap.
“Insya-Allah, saya percaya saya akan membawa PDRM ini ke tahap yang lebih cemerlang, selari dengan perubahan pemodenan.
“Terutama sekali yang melibatkan teknologi-teknologi terkini untuk melaksanakan kepolisan di masa akan datang,” tambahnya.
Dalam pada itu, Mohd Khalid turut menzahirkan rasa syukur atas pelantikannya sebagai Ketua Polis Negara ke-15.
“Pertama sekali, saya bersyukur kerana Allah SWT beri tanggungjawab dan amanah untuk memikul jawatan ini.
“Saya menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kerana memperkenankan pelantikan saya,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail atas keyakinan dan amanah yang diberikan.
Tidak ketinggalan, beliau mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Razarudin Husain yang menamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Polis Negara hari ini.
“Saya percaya saya akan meneruskan segala tindak tanduk yang telah dilaksanakan selama ini, dan menjadikannya sebagai ruang untuk mempertingkatkan keupayaan dan kredibiliti pasukan polis, terutama dalam menangani isu-isu jenayah dan rentas sempadan,” katanya.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada seluruh warga PDRM atas komitmen tanpa henti dalam menjaga keselamatan rakyat dan negara.
“Saya percaya mereka tanpa mengira waktu dan masa sentiasa memberikan yang terbaik untuk kesempurnaan rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Khalid memaklumkan beliau akan mengadakan satu sidang media khas dalam masa terdekat untuk berkongsi perancangan dan hala tuju kepimpinannya.
“Saya rasa cara terbaik adalah untuk saya adakan persidangan media dalam beberapa hari. Insya-Allah, kita boleh bincangkan apa-apa perkara yang anda rasa perlu diketahui,” katanya. – MalaysiaGazette
















