Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi hadir pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, WTCKL. Foto AIZAT ZAINAL, 30 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan mengapa hanya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang didakwa atas kes rasuah.

Menyifatkan pendakwaan terhadap dua ADUN berkenaan sebagai antiklimaks, Mohd Puad turut mempersoalkan sama ada kedua-dua ADUN berkenaan mempunyai kuasa untuk meluluskan lesen cari gali di Sabah.

“Macam tidak ada ummmph apabila YB Andi Suryady (Tanjung Batu) dan YB Dr Yusof Yaacob (Sindumin) saja yang didakwa kerana rasuah lesen cari gali di Sabah.

“Kedua dua mereka dikaitkan dengan UMNO. Keahlian Andi sebagai ahli UMNO telah digantung. YB Dr Yusof yang keluar Warisan memohon untuk jadi ahli UMNO.

“Andi dan Dr Yusof diramal tidak akan dicalonkan semula atas tiket UMNO di PRN Sabah. Semoga itu bukan sebab mereka terpilih untuk didakwa untuk pastikan ada yang didakwa,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Mohd Puad menambah, pendakwaan terhadap kedua-dua ADUN berkenaan tidak memberi naratif yang bagus kepada kerajaan.

“Kerajaan pula jadi defensif. Kenapa dua orang sahaja didakwa?” katanya.

Semalam, Yusof dan Andi Muhammad Suryady serta seorang ahli perniagaan, Datuk Tei Jiann Cheing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas pertuduhan rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral di negeri itu pada 2023.

Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan berasingan berkaitan kes rasuah itu dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Jason Juga.

Yusof, 69, yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad didakwa atas satu pertuduhan menerima wang suapan RM200,000 daripada Jiann Cheing sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan prospecting licence untuk cari gali mineral di Sabah, di sebuah hotel, di Kota Kinabalu pada 2 petang, 6 Mac 2023.

Andi Muhammad Suryady, 44, yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah serta Ahli Parlimen Kalabakan pula didakwa menerima wang suapan RM150,000 daripada Jiann Cheing sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan prospecting licence untuk cari gali mineral di Sabah, di kediaman ADUN itu di Kota Kinabalu pada 11 malam, 12 Mei 2023.

Sementara itu, Jiann Cheing, 36, didakwa atas dua pertuduhan memberikan wang rasuah masing-masing kepada Yusof dan Andi Muhammad Suryadi di lokasi, masa dan tarikh yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.