Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad.

KUALA LUMPUR – Sindiket memproses dan menjual rokok dicampur dengan dadah jenis methamphetamine berjaya ditumpaskan dalam serbuan di sebuah kondominium sekitar Serdang pada Selasa lalu.

Dalam serbuan sekitar pukul 1 tengah hari itu, sepasang kekasih turut ditahan melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dan wanita warga asing berumur 33 tahun yang bekerja sebagai penjual batu jade.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, serbuan dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis menerusi Ops Tapis oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Serdang.

“Mereka menjalankaan kegiatan haram itu di sebuah unit kondominium yang disewa dengan kadar RM1,700 untuk dijadikan tempat makmal pemprosesan.

“Siasatan turut mendapati rokok dadah berkenaan dijual pada kadar harga RM80 sebatang kepada pengedar dan dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

“Ini merupakan kali pertama kita berjaya tumpaskan kegiatan memproses dan menjual rokok campuran dadah seperti ini,” katanya dalam sidang media di IPD Serdang hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad

Tambah Muhamad Farid, pihaknya turut merampas satu kotak plastik lut sinar mengandungi daun kering bercampur dadah, dua kotak  hitam mengandungi 240 batang rokok tembakau bercampur methamphetamine seberat anggaran 0.18 kilogram.

Selain turut merampas lima kotak hitam sama yang berisi 600 batang rokok kosong, dua paket syabu seberat 6.10 gram, dua botol kaca seberat 300 mililiter dan sau mesin pembuat rokok elektrik.

“Hasl siasatan, rokok campuran dadah itu dijual sindiket dalam bentuk sekotak mengandungi 120 batang dengan setiap batang dijual pada harga RM80, menjadikan nilai sekotak mencecah RM9,600.

“Rokok itu kemudian dijual semula oleh pengedar kepada pengguna secara sebatang pada harga lebih tinggi, dianggarkan antara RM120 hingg RM150 dipercayai digunakan di pusat -pusat hiburan sekita Lembah Klang,” jelasnya.

Muhamad Farid berkata, hasil saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, serta mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah.

“Polis turut menyita wang tunai sebanyak RM1,000 dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah, diambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

“Ini menjadikan keseluruhan nilai rampasan dadah dalam serbuan ini dianggarkan berjumlah RM2 juta manakala nilai sitaan berjumlah RM1,000,” jelasnya.

Muhamad Farid turut memaklumkan, kedua-dua suspek kini direman tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast