Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh menunjukkan dokumen kenyataan bersama ketika mengadakan sidang media membabitkan isu institusi kehakiman, reformasi dan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 07 JULAI 2025. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR – Kritikan sekumpulan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap Perdana Menteri tidak akan menjadi permulaan kepada gelombang yang boleh menggugat atau menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, pemerhati politik, Adrian Lim Chee En berkata, kritikan kumpulan itu yang diketuai bekas Timbalan Presiden PKR yang juga bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli akan menjadikan Kerajaan Madani lebih kuat.

Menguatkan pandangan itu, beliau turut merujuk ketika Pakatan Harapan (PH) masih dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR) yang diketuai PKR sentiasa memberi peluang kepada pembangkang untuk mengkritik dan berperanan secara efektif.

Adrian Lim Chee En

Malah, ujarnya, PH dan PKR juga merupakan kerajaan pertama di negara ini yang mengambil inisiatif menguatkan lagi pembangkang supaya menjadi suara semak dan imbang kepada kerajaan.

Sebagai contoh, menurutnya, pada 2008 ketika PH (ketika itu PR) mengambil alih pucuk pimpinan Kerajaan Negeri Selangor, pembangkang iaitu UMNO dan Barisan Nasional (BN) dilihat gagal menjadi pembangkang yang berkesan.

Sehubungan itu, tambah beliau, Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin PKR ketika itu memperkenalkan beberapa langkah untuk menguatkan pembangkang antaranya Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT).

Jelasnya, SELCAT ditubuhkan supaya peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan boleh diteliti bagi tujuan mencegah penyelewengan.

Selain itu, tambah Adrian Lim, Kerajaan Negeri Selangor ketika itu turut meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 supaya orang awam mempunyai akses kepada maklumat-maklumat yang diingatkan ‘rahsia’ bagi tujuan mengelak penyelewengan dan pembaziran.

“Pembangkang di Selangor ketika itu juga diberi peruntukan beratus-ratus ribu, agar fungsi pembangkang tidak dicacatkan.

“Dalam keadaan pembangkang UMNO/BN tidak reti membangkang pada ketika itu, kerajaan PKR/PH memberi ‘tongkat’ kepada pembangkang.

“Selepas 17 tahun membangkang diri sendiri, kerajaan yang sama masih mentadbir Selangor dan majoriti pengundi masih berpuas hati dengan kerajaan sedia ada sebagaimana yang ditunjukkan melalui peti undi dalam tiga Pilihan Raya Negeri yang lalu,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Beliau mengulas mengenai sidang akhbar khas sekumpulan ahli Parlimen PKR yang diketuai Rafizi hari ini yang melahirkan kebimbangan berhubung dakwaan isu campur tangan eksekutif dalam insitusi kehakiman.

Sidang akhbar yang turut disertai enam ahli Parlimen PKR lain itu mencetuskan tanda tanya banyak pihak berhubung keutuhan Kerajaan Madani ketika ini apabila Anwar dikritik oleh wakil rakyat kerajaan sendiri.

Sementara itu, Adrian berkata, pada peringkat Persekutuan hari ini, pembangkang atau Perikatan Nasional (PN) dilihat tidak berfungsi sebagaimana pembangkang harus berfungsi.

Dakwa beliau, PN ketika ini lebih gemar membawa isu picisan seperti `mana kerusi dan mana bendera’ (merujuk kepada kritikan ketika lawatan Anwar bertemu pemimpin di luar negara).

Keadaan itu, ujar beliau, adalah sama seperti yang dilalui oleh UMNO dan BN di Selangor pada 17 tahun lalu.

“Oleh kerana pembangkang sekarang tidak mampu menjalankan kerja-kerja hakiki sebagai pembangkang maka kerajaan kena mengambil alih kerja-kerja pembangkang dan menyemak imbang diri sendiri melalui ahli-ahli Parlimen Kerajaan sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast