KUALA LUMPUR – Rakyat di negara ini usah terpengaruh dengan suara-suara sumbang yang cuba memperlekeh usaha kerajaan meluaskan jaringan kerjasama strategik dengan negara-negara luar kerana perjuangan membina negara memerlukan masa, kecekalan dan iltizam tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjalanan masih panjang dan kerajaan akan terus mara dengan tekad serta iltizam membawa perubahan nyata buat negara dan generasi penerus.
Beliau menyifatkan lawatan rasmi delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak BRICS di Brazil sebagai berjaya mencapai matlamat utama dalam memperkukuh hubungan dua hala.
Malah, misi ke Rio de Janeiro itu turut membuka ruang jaringan kerjasama strategik Malaysia bersama negara-negara BRICS lain seperti China, Rusia, India dan Afrika Selatan.
“Nama Malaysia terus meniti di bibir para pelabur antarabangsa hasil komitmen tidak berbelah bahagi seluruh pasukan Kerajaan Madani dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi yang mampu memacu pertumbuhan dan menjana manfaat buat rakyat.
“Kita terus melangkah ke hadapan demi Malaysia yang lebih disegani, stabil dan sejahtera.,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Anwar juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan misi ini termasuk para pegawai dan agensi kementerian, Kedutaan Besar Malaysia di Brazil, pasukan keselamatan serta petugas media yang menunjukkan dedikasi sepanjang berada di sana. – MalaysiaGazette
















