V. Ganabatirau

KUALA LUMPUR – Semua ahli Parlimen dalam kalangan masyarakat India tanpa mengira parti diseru untuk bangkit bersuara dengan berani dan bersatu dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bakal dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

Gesaan itu disuarakan oleh Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman yang menegaskan bahawa ini adalah detik penting buat masyarakat India di Malaysia untuk memastikan suara mereka dimasukkan secara tuntas dalam dasar pembangunan negara.

Menurut Ganabatirau, walaupun kerajaan telah mengambil beberapa langkah penting termasuk melalui MITRA, sokongan pendidikan, bantuan tanah kuil, latihan kemahiran dan program komuniti tersasar namun ianya tidak mencukupi jika tiada struktur tetap, konsistensi serta akauntabiliti dalam pelaksanaannya.

Katanya, masyarakat India tidak boleh terus bergantung kepada inisiatif sementara atau peruntukan berbentuk ‘token’ sebaliknya memerlukan pengiktirafan jelas dalam kerangka dasar nasional.

“Sebagai wakil rakyat yang lantang menyuarakan isu-isu seperti kekurangan peluang pendidikan tinggi, mobiliti sosial anak muda India, isu tanah kuil dan tanah perkuburan serta akses kepada dana perniagaan kecil, saya tidak seharusnya bersuara seorang diri.

“Sebaliknya semua Ahli Parlimen India agar tidak berdiam diri sekiranya RMK13 gagal memberi perhatian sewajarnya terhadap keperluan masyarakat India.

“Menyuarakan hak rakyat bukan bermaksud menentang kerajaan, tetapi mempertahankan komuniti yang diwakili,” tulisnya dalam kenyataan di media sosial beliau.

Dalam pada itu, Ganabatirau turut memuji kelantangan Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan yang menurutnya tetap konsisten memperjuangkan nasib masyarakat India walaupun tidak memegang sebarang jawatan Kabinet.

Tegas beliau, keberanian dan tekad seperti itu harus dicontohi oleh semua Ahli Parlimen India kerana perjuangan tidak memerlukan gelaran, tetapi memerlukan prinsip dan keberanian.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan

“Ahli Dewan negara mahupun wakil kerajaan dan individu dalam agensi berkaitan juga bertanggungjawab untuk meneliti dan bersuara sekiranya kepentingan masyarakat India tidak diangkat dalam RMK13.

“Ini bukan masa untuk berasa selesa dalam kedudukan, sebaliknya masa untuk menunjukkan kepimpinan yang berani dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Tambah beliau, RMK13 seharusnya merangkumi penyelesaian konkrit dan menyeluruh seperti akses pendidikan dan latihan kemahiran yang adil selain penyelesaian sah bagi isu tanah kuil dan perkuburan.

Katanya selain itu wajar diberi perhatian ialah penyertaan masyarakat India dalam ekonomi digital dan saluran TVET, sokongan mikro kredit untuk perniagaan kecil India, program pemberdayaan belia dan wanita, serta perwakilan profesional India dalam badan pembuat dasar negara.

Beliau menekankan bahawa jika elemen-elemen ini tidak dimasukkan, maka Ahli Parlimen India perlu menuntut agar ia ditambah melalui pindaan atau kerangka belanjawan susulan.

“Ingatlah, rakyat sedang memerhati dan menunggu kepimpinan sebenar daripada wakil-wakil mereka, bukan alasan.

“RMK13 perlu dikenang sebagai titik perpaduan dan keberanian Ahli Parlimen India dalam memperjuangkan masa depan komuniti, diam bukan pilihan kerana rakyat sudah tunggu terlalu lama,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast