KUANTAN – Musim manggis tempatan kali ini mendapat sambutan baik sehingga penjual mampu jualan sebanyak 100 kilogram (kg) sehari.
Peniaga, Muhammad Zaim Mohamad Tahir, 53, berkata, manggis tempatan dari Perak antara pilihan sehingga menjual empat hingga lima bakul manggis dengan harga RM12 sekilo.
”Saya jual manggis ambil dari pemborong di Perak kerana lokasinya dah lebih utama buah tempatan. Kalau bekalan buah-buahan tidak mencukupi barulah saya dapatkan bekalan buah daripada Thailand dengan membuat pesanan melalui pemborong.
“Buat masa sekarang, saya tempah buah dengan pemborong dalam negeri, biasanya satu lori penuh dihantar dari Perak tapi bukan semua untuk saya sebab saya ambil beberapa puluh bakul sahaja,” katanya ketika ditemui di jalan pasar Kuantan di sini hari ini.
Tambah Muhammad Zaim, sambutan terhadap buah manggis tempatan tidak menentu dan bergantung kepada kuasa membeli terutamanya pada waktu gaji.
Selain itu, katanya, kualiti buah tersebut perlu dijaga rapi kerana buah itu mudah rosak atau merekah sekiranya jatuh atau terlalu lama terdedah panas.
“Kalau awal bulan, masa orang baru dapat gaji, biasanya ramai yang datang beli tapi kalau tengah bulan, pelanggan agak kurang,” akuinya.
“Buah manggis ini sensitif, kalau jatuh atau bakul dia akan rosak tapi kalau buah ini baru sampai ia oleh tahan tiga hari kena panas pun tak boleh,” katanya lagi.

Manakala Mohd Asri Amri, 46, berkata, selain manggis, jualan buah rambutan, salak dan petai turut mendapat sambutan pada minggu ini.
Beliau menjual manggis pada harga RM10 sekilo dan memperoleh bekalan manggis dari Perak mampu menjual sehingga 60 kg sehari.
“Manggis dari Perak ini ramai yang suka, isinya manis dan harga pun berpatutan, jadi mudah dijual,” jelasnya.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati sambutan pembeli terhadap buah manggis tempatan tak kurang hebatnya kerana pelanggan tidak putus membeli. – MalaysiaGazette
















