MELAKA – Polis Melaka menumpaskan kegiatan pelupusan sisa elektronik (e-waste) dari luar negara yang beroperasi secara haram di kawasan perindustrian Bukit Rambai, di sini sejak tiga bulan lalu.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam serbuan itu kira-kira jam 11 pagi tadi, pihaknya merampas 300 tan jongkong aluminium bernilai hampir RM2.1 juta yang dipercayai untuk dieksport ke China.

Menurutnya, kejayaan itu susulan pemantauan selama seminggu yang turut melibatkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Melaka.
“Tahun lepas, kilang sama juga pernah disaman namun atas kesalahan lain tetapi hari ini didapati telah menjalankan aktiviti peleraian dan peleburan sisa elektronik yang dipercayai sudah beroperasi sejak tiga hingga empat bulan lalu.
“Kita telah merampas 300 tan jongkong aluminium yang telah diproses di sini menjadikan Melaka sebagai transif haram memproses e-waste sebelum dieksport semula ke China,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Dzulkhairi berkata, pihaknya kesal apabila Malaysia terus menjadi transit memproses e-waste secara haram selepas beberapa negara maju mengharamkan aktiviti itu di negara mereka.
“Sebab itu, ada pihak yang sanggup mengambil kesempatan menjadikan Melaka sebagai tempat pembuangan dan pemprosesan e-waste sehingga mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar dan penduduk.
“Dalam serbuan ini, kita turut merampas bahan mentah serta pelbagai barangan elektronik seperti alat kawalan jauh dan kamera litar tertutup (CCTV) yang masih belum diproses menjadi jongkong,” katanya.
Tambahnya, seramai 25 pekerja asing berusia antara 20 hingga 45 tahun yang terdiri daripada warga China, Bangladesh dan Myanmar turut ditahan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 55 (1)(b) Akta Imigresen 1959/63, dan jika disabitkan kesalahan mengikut peruntukan Jabatan Alam Sekitar, boleh didenda sehingga RM10 juta. – MalaysiaGazette
















