Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mencemar duli ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-269 & Majlis Penganugerahan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 JULAI 2025.
KUALA LUMPUR – Isu kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan dijangka menjadi agenda utama dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-269 yang bersidang pagi ini.
Isu itu menjadi polemik selepas penyandang kedua-dua jawatan itu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim menamatkan perkhidmatan mereka, masing-masing pada 2 dan 3 Julai lalu.
Pelantikan jawatan-jawatan penting merupakan bidang kuasa Majlis Raja-Raja Melayu yang memberi perkenan kepada mana-mana individu yang layak ke jawatan tersebut.
Bagaimanapun pelantikan Ketua Hakim Negara hanya boleh dibuat Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan atas nasihat Perdana Menteri selepas penilaian dibuat menerusi mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.
Terdahulu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mempengerusikan mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-269 di Istana Negara, di sini, pagi ini.
Antara pihak Istana yang terawal tiba di Istana Negara merupakan Yang di-Pertua Sabah, Tun Musa Aman jam 9.10 pagi.
Ini disusuli Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib; Yang di-Pertua Sarawak, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Yang di-Pertua Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Selain itu, turut kelihatan mencemar duli ke Istana Negara ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Turut mencemar duli Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar yang mewakili pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast