KUALA LUMPUR – Prestasi dagangan Malaysia menyusut sedikit pada Jun 2025 dengan jumlah dagangan mencatatkan penurunan 1.2 peratus kepada RM234.9 bilion berbanding RM237.8 bilion dalam bulan yang sama tahun sebelumnya, disebabkan penyusutan eksport 3.5 peratus kepada RM121.7 bilion.

Sebaliknya, import meningkat 1.2 peratus kepada RM125.9 bilion, menyebabkan lebihan dagangan mengecil daripada RM14.3 bilion kepada RM8.6 bilion pada Jun 2025 seperti yang dilaporkan hari ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin menjelaskan bahawa Malaysia mencatatkan lebihan dagangan 62 bulan berturut-turut sejak Mei 2020, walaupun lebihan tersebut mengecil 40.1 peratus kepada RM8.6 bilion pada Jun 2025. Manakala, penurunan eksport Malaysia bagi bulan Jun 2025 adalah terutamanya disebabkan oleh pengurangan dalam eksport domestik.

Eksport domestik, yang merangkumi 78.3 peratus daripada jumlah eksport, menurun 5.2 peratus kepada RM95.3 bilion, manakala eksport semula, yang membentuk 21.7 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 3.4 peratus kepada RM26.4 bilion berbanding Jun 2024.

Selain itu, import berjumlah RM113.1 bilion, meningkat 1.2 peratus atau RM1.4 bilion. Berbanding dengan Mei 2025, eksport, import dan jumlah dagangan masing-masing mencatatkan penurunan 3.9 peratus, 10.1 peratus dan 7.0 peratus.

Sementara itu, imbangan dagangan melonjak 1,030.7 peratus atau RM7.8 bilion.

Dari sudut kumpulan barangan, 156 daripada 257 kumpulan eksport mencatatkan penurunan.

Sementara itu, 127 daripada 259 kumpulan import mencatatkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Mohd Uzir berkata, eksport yang lebih rendah didorong terutamanya oleh pengurangan penghantaran ke Singapura (-RM3.5 bilion), diikuti oleh China (-RM1.5 bilion), Thailand (-RM691.8 juta), Korea Republik (-RM667.9 juta), Arab Saudi (-RM445.1 juta), Brunei (-RM398.9 juta) dan Australia (-RM330.2 juta).

Sebaliknya, peningkatan import pula disumbangkan terutamanya oleh kemasukan barangan yang lebih tinggi dari China (+RM3.1 bilion), diikuti oleh Amerika Syarikat (+RM1.9 bilion), Korea Republik (+RM1.3 bilion), Taiwan (+RM926.1 juta), Indonesia (+RM691.2 juta), Cameroon (+RM602.2 juta) dan Iraq (+RM395.7 juta).

Menurut beliau, penurunan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh penghantaran yang lebih rendah bagi keluaran petroleum (-RM3.3 bilion); gas asli cecair (-RM1.2 bilion); petroleum mentah (-RM899.7 juta); kimia & bahan kimia (-RM853.7 juta); barangan besi & keluli (-RM550.8 juta); serta
barangan perkilangan logam (-RM445.2 juta).

Manakala, pertumbuhan import didorong oleh peningkatan kemasukan barangan elektrik dan elektronik (+RM3.8 bilion); jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM1.4 bilion); bijih logam dan serpihan logam (+RM1.1 bilion); keluaran perkilangan lain (+RM820.9 juta); barang kemas (+RM478.7 juta); serta barangan optik & saintifik (+RM377.8 juta). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast