KUALA LUMPUR – Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selayang, Chua Wei Kiat menyarankan kerajaan menawarkan ganjaran sebanyak RM10 juta kepada mana-mana pihak yang mampu menyalurkan maklumat sahih sehingga berjaya membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang berkata, nilai RM10 juta itu hanyalah 0.035 peratus daripada jumlah keseluruhan dana 1MDB yang telah berjaya dikembalikan kepada negara iaitu lebih RM29 bilion setakat ini.
Jelasnya, tawaran ganjaran sebegitu bukan perkara luar biasa memandangkan negara besar seperti Amerika Syarikat (AS); India dan China juga mengamalkan pendekatan sama dalam memburu penjenayah dikehendaki, pengganas atau individu yang terlibat dalam pengubahan wang haram dan rasuah rentas negara.
“Jika ganjaran RM10 juta ini mampu membawa pulang watak utama yang selama ini menghilangkan diri, ia adalah pelaburan keadilan yang berbaloi.
“Ia juga akan menjadi isyarat jelas kepada dunia bahawa Malaysia tidak berkompromi dalam membanteras rasuah berskala mega,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, beberapa media antarabangsa yang memetik dua wartawan penyiasat iaitu Bradley Hope dan Tom Wright mendakwa Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho, kini tinggal di Shanghai, China menggunakan identiti palsu dengan nama ‘Constantinos Achilles Veis’ serta pasport Australia palsu.
Pendedahan itu dibuat dua wartawan berkenaan yang membongkar skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Bradley Hope dan Tom Wright dalam episod khas Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright.
Sementara itu, tambah Wei Kiat, Jho Low bukan sekadar suspek dalam kes 1MDB, tetapi merupakan simbol kepada sistem yang dibolosi, institusi yang dimanipulasi dan kekayaan negara yang dicuri.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan bagaimana keadilan boleh ditegakkan sekiranya individu yang menyimpan kunci kepada keseluruhan skandal 1MDB masih bebas dan terus menikmati kehidupan mewah di luar negara.
Ujarnya, semua individu yang terlibat dalam kes 1MDB mempunyai peranan dalam skandal itu dan mesti bersama-sama bertanggungjawab.
Keadilan yang sebenar, tegas beliau, hanya boleh dicapai apabila semua yang terlibat, tanpa mengira pangkat atau kekayaan dibawa ke muka pengadilan.
“Kepulangan Jho Low juga penting bagi memastikan siasatan dan pendakwaan kes 1MDB dapat dilengkapkan sepenuhnya.
“Ini dapat membantu mengelakkan kejadian seperti keputusan DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) daripada berulang hanya kerana kekurangan saksi utama dan bahan bukti tidak mencukupi,” katanya. – MalaysiaGazette
















