China Press melaporkan terdapat warga Rohingya menternak ayam dalam unit rumah yang kosong di Klang, Selangor.

KLANG – Pelarian Rohingya “buat hal” lagi, kali ini dengan mengambil alih sebuah lot rumah yang kosong dan menjadikannya sebagai reban ayam.

Meru di Klang merupakan antara kawasan tumpuan orang Rohingya, dan penduduk tempatan telah mengadu pelbagai kejadian termasuk gangguan ke atas wanita, masalah kebersihan, perniagaan tanpa lesen, kecurian, terlalu banyak penghuni dalam satu rumah, dan isu-isu lain.

Walaupun pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan telah melakukan didikan mengenai tanggungjawab sivik, tetapi masih terdapat kejadian tidak diingini berlaku.

Dalam kejadian terbaru, sepasang suami isteri Rohingya dilaporkan menternak lebih 50 ekor ayam dalam satu rumah teres yang kosong.

China Press melaporkan, penduduk sekitar asalnya pelik dengan kokokan ayam dan bau busuk, tetapi menyedari kawasan kejiranan mereka telah menjadi reban apabila mendapati orang Rohingya mengangkat ayam ke lori.

Ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang, Gan Eu Eng berkata, penternak adalah sepasang suami isteri yang mempunyai beberapa anak dan menyewa rumah di kawasan berhampiran dengan “ladang ternakan” mereka.

Beliau berkata, “rumah ternakan” itu sangat kotor dengan pelbagai reban didirikan, dan ayam bebas bergerak di kawasan ruang tamu.

Katanya, kawasan dalam dan luar rumah juga penuh dengan najis ayam dan berbau busuk.

Menurutnya, pemilik rumah telah berpindah ke luar negara dan orang Rohingya dipercayai mengambil kesempatan ke atas unit yang kosong tanpa kebenaran.

“Pihak majlis telah menyita 51 ekor ayam dan memerintahkan suami isteri pelarian Rohingya untuk membersihkan tempat dalam tempoh tujuh hari,” katanya.

Ujarnya, orang Rohingya sebelum ini menimbulkan isu lain termasuk ada kanak-kanak yang tiba-tiba lari ke tengah jalan dan meminta “pampasan” daripada pemandu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast