KUALA LUMPUR – Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal kukuh dan berlegar antara RM4,100 hingga RM4,300 sepanjang bulan akan datang, disokong oleh permintaan perayaan yang kukuh dari India, selain kenaikan harga minyak soya Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, sebarang kenaikan harga minyak sayuran mungkin terhad oleh bekalan biji minyak global yang melimpah, terutamanya kacang soya, memandangkan tiada kekurangan bahan mentah di pasaran pada masa ini.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, stok MSM meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan kepada 2.03 juta tan metrik (MT) pada Jun, didorong oleh penurunan eksport sebanyak 10.5% berbanding bulan sebelumnya, yang susut kepada 1.26 juta MT.
Walaupun berlaku kelembapan, jumlah eksport pada Jun 2025 kekal lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, melepasi 1.19 juta MT pada Jun 2022, 1.17 juta MT pada Jun 2023 dan 1.21 juta MT pada Jun 2024.
Bagi separuh pertama 2025, Kenya muncul sebagai pembeli kedua terbesar minyak sawit Malaysia, mengatasi EU27 sebanyak 21,000 MT dan China sebanyak 117,000 MT.
Kenya menyumbang 30% daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia ke Sub-Sahara Afrika, dengan jumlah import tahunan diunjurkan mencecah 1.3 juta MT.
MPOC berkata, Kenya terus menonjol sebagai pasaran pertumbuhan utama, disokong oleh peningkatan penggunaan domestik. Lebih 90% import minyak sawit Kenya digunakan untuk tujuan makanan domestik.
Harga minyak sayuran global telah pulih daripada kerugian awal tahun, dipacu oleh lonjakan mendadak dalam harga minyak soya, yang meningkat sebanyak 19% sejak Januari.
Kenaikan ini mengatasi minyak biji rapa (+6.6%) dan minyak sawit (+3.7%), manakala minyak bunga matahari kekal agak stabil dengan peningkatan sederhana sebanyak 1.7%.
Minyak soya kekal sebagai minyak sayuran berprestasi terbaik setakat ini, disokong oleh dasar biofuel AS yang diumumkan pada pertengahan Jun, yang dijangka meningkatkan permintaan terhadap bahan mentah domestik.
Harga minyak soya yang tinggi telah meningkatkan daya saing harga minyak sawit.
Hasilnya, eksport minyak sawit Malaysia ke India telah melonjak dengan ketara sejak April, sekali gus mengurangkan penurunan kumulatif yang direkodkan pada suku pertama 2025.
Import bulanan India terhadap minyak sawit Malaysia kekal melebihi 250,000 MT pada bulan Mei dan Jun.
Menurut MPOC, momentum positif ini dijangka berterusan ke suku ketiga, disokong oleh aktiviti penstokan semula menjelang perayaan Deepavali pada pertengahan Oktober dan harga yang menarik.
Pada suku ketiga, India dijangka mengimport kira-kira 2.9 juta MT minyak sawit bagi memenuhi permintaan musim perayaan.
Permintaan kukuh ini akan terus menyokong harga minyak sawit.
Di AS, harga minyak soya dijangka kekal tinggi sepanjang baki tahun 2025 hingga 2026.
Menurut unjuran terbaru USDA, penggunaan minyak soya untuk biodiesel di A.S. diunjurkan meningkat sebanyak 17%, daripada 6 juta MT pada 2024 kepada 7 juta MT pada 2026. Buat pertama kali, lebih 50% pengeluaran minyak soya A.S. dijangka digunakan untuk biodiesel.
Selain itu, di bawah kerangka kredit cukai AS, yang disemak semula, hanya bahan mentah yang diperoleh dari Amerika Utara (Kanada dan Mexico) yang layak menerima kredit cukai, dengan bahan mentah yang dihasilkan di AS. menerima insentif tertinggi.
Sekatan ini dijangka menyebabkan harga minyak soya A.S. dan minyak kanola Kanada kekal pada paras premium berbanding minyak sayuran lain di peringkat global dan dinamik yang didorong oleh dasar ini akan terus menyokong sentimen positif dalam pasaran minyak sayuran.
Namun begitu, peningkatan permintaan dari AS. sahaja tidak mencukupi untuk mengimbangi lonjakan bekalan global kacang soya yang dijangka.
Pengeluaran kacang soya Amerika Selatan diunjurkan meningkat sebanyak 8 juta MT pada 2026, mencecah 245 juta MT.
Bekalan yang banyak dijangka menekan harga kacang soya, dengan stok minyak soya A.S. pada 2026 dijangka meningkat dua kali ganda berbanding paras 2023, disebabkan lebihan stok bawaan dan penurunan eksport yang ketara ke China. – MalaysiaGazette
















