Kereta yang ditenggelamkan oleh pempengaruh Ija

MUAR – Pempengaruh permotoran, Ija Nizaruddin yang memalsukan kehilangan kononnya ‘hilang’ dalam Sungai Tui, di sini, baru-baru ini sebenarnya lari ke Thailand, dipercayai untuk menikah lagi.

Difahamkan siasatan terhadap Ija atau nama sebenarnya, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, masih belum selesai selepas dia menyerah di Balai Polis Muar Sabtu lalu selepas hampir seminggu dilaporkan hilang.

Polis Muar memaklumkan pihaknya sedang menunggu arahan lanjut daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk dituduh.

Tindakan Ija itu mengundang kemarahan orang ramai terutama netizen dan mereka mengecam sikap tidak bertanggungjawab Ija yang didakwa menyusahkan banyak pihak dengan cerita rekaannya.

Ija dan adiknya, Tengku Abdul Aziz yang bersubahat membuat laporan palsu itu disyaki mereka cerita kononnya Ija hilang dan dikhuatiri lemas selepas kereta Perodua Axia milik isterinya ditemui terbenam dalam Sungai Tui, Lenga, Bukit Kepong, Pagoh di sini pada 15 Julai lalu.

Susulan itu seramai 77 anggota pasukan keselamatan terutama bomba dan polis melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selama empat hari.

Operasi itu merangkumi pencarian melalui darat, air dan udara menggunakan pelbagai aset dalam radius beberapa kilometer dari lokasi kejadian sebelum menamatkan pencarian kerana tiada sebarang petunjuk.

Bagaimanapun cerita sebenar ‘kehilangan’ Ija terbongkar selepas adiknya membuka mulut memberitahu pempengaruh permotoran tersebut lari ke Thailand.

Difahamkan, Ija lari ke Siam dengan memasuki laluan Padang Besar, Perlis secara sah dipercayai untuk bernikah lain.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad mengarahkan satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar kelmarin kerana kesal dan marah dengan perbuatan tersebut.

Ketua Zon 4, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Penguasa Bomba Kanan II Nor Shuhada Amsari, laporan polis dibuat pada pukul 11.30 pagi atas nasihat Nor Hisham.

“Keputusan membuat laporan polis ini atas sebab JBPM beranggapan perbuatan membuat laporan palsu ini adalah suatu tindakan tidak wajar dan menyebabkan pembaziran sumber dan masa.

“Selain itu, ia membabitkan risiko keselamatan pasukan penyelamat serta mengganggu tugas-tugas kecemasan lain.

“Tindakan membuat laporan palsu ini turut menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan masyarakat terhadap agensi penyelamat dan pihak berkuasa jika tidak dibendung,” katanya ketika dihubungi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast