KUALA LUMPUR – Cadangan supaya Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) diletakkan di bawah seliaan timbalan perdana menteri bukan sahaja janggal, bahkan tidak berpijak kepada realiti struktur kerajaan yang wujud.
Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Nor Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah berkata, cadangan itu juga tidak mempunyai sebarang rujukan sejarah atau peruntukan yang sahih.
Sebaliknya, ujar beliau, sekiranya ingin membawa usul yang lebih konstruktif, cadangan untuk mengembalikan semula status JWP sebagai sebuah kementerian adalah jauh lebih wajar dan realistik.
Selain itu, menurutnya, dakwaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL); Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) kini bergerak secara berasingan juga adalah tidak benar.
Ini kerana, jelas beliau, ketiga-tiga agensi itu sebenarnya diletakkan secara rasmi di bawah tanggungjawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan diselaraskan mengikut peruntukan Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969.
“Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) pula merupakan sebuah entiti Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) dan Menteri yang bertanggungjawab kepada Wilayah Persekutuan akan dilantik sebagai Pengerusi berdasarkan Memorandum dan Artikel Yayasan yang berkuat kuasa.
“Maka, kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Datuk Aliff adalah tidak tepat dan tidak bersandarkan fakta semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan dalam mesyuarat bahagian itu baru-baru ini, meluluskan usul yang mencadangkan Jabatan Wilayah Persekutuan diletakkan secara rasmi di bawah seliaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ketuanya, Datuk Aliff Firdaus Abd Hadi berkata, langkah itu merupakan tindakan strategik bagi mengembalikan semula struktur tadbir urus yang lebih teratur dan berfokus kepada Wilayah Persekutuan khususnya selepas pembubaran Kementerian Wilayah Persekutuan pada tahun 2022.
Sementara itu, Nor Azrina mengajak mana-mana pihak, termasuk Aliff Firdaus sendiri meneliti dengan lebih objektif pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh JWP ketika ini.
Antaranya, kata beliau, termasuk Program Usaha Jaya Insan (PUJI) yang terbukti memberikan manfaat terus kepada rakyat dalam usaha menoktahkan miskin tegar di Wilayah Persekutuan.
Selain itu, menurutnya, di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa sebagai Menteri, visi Bandar CHASE juga sedang digerakkan secara bersepadu merentasi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Bandar CHASE ialah pendekatan pembangunan bandar Bersih (Clean), Sihat (Healthy), Terkehadapan (Advanced), Selamat (Safe) dan Mesra Alam (Eco-friendly), yang sedang diterjemahkan melalui pelbagai projek dan intervensi dasar di peringkat tempatan,” katanya.
Tambah beliau, dalam era keterbukaan maklumat dan kemajuan teknologi ketika ini, adalah wajar sekiranya setiap usul yang ingin dikemukakan hadir dengan latar ulang kaji, kefahaman struktur serta penelitian yang mendalam.
Menurutnya, setiap cadangan dasar harus bertolak dari kejujuran intelektual dan kematangan pandangan, bukan semata-mata untuk meraih perhatian politik jangka pendek. – MalaysiaGazette
















