Sebuah trak membawa pelancar roket BM-21 buatan Rusia di wilayah Oddar Meanchey, Kemboja. Foto: AFP

SURIN, Thailand – Lebih 100,000 orang melarikan diri daripada pertempuran di sempadan antara Thailand dan Kemboja ketika bilangan mangsa korban meningkat dan negara-negara menggesa penggeseran tersebut dihentikan.

Ketegangan dalam pertikaian sempadan yang telah lama berlaku itu meningkat dengan pertempuran menggunakan pesawat pejuang, artileri dan tentera darat semalam, dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan mesyuarat tergempar mengenai krisis itu pada hari ini.

Kementerian Dalam Negeri Thailand berkata, lebih 100,000 orang di empat wilayah telah dipindahkan ke 300 tempat perlindungan sementara manakala Kementerian Kesihatan mengumumkan angka korban meningkat kepada 14 orang dan daripada jumlah itu 13 adalah orang awam manakala seorang anggota tentera.

Wartawan AFP yang berada di bandar Samraong, Kemboja, kira-kira 20 kilometer dari sempadan Thailand, mendengar tembakan artileri pada pagi ini.

Bebebrapa keluarga bersama anak mereka melarikan diri dengan kenderaan apabila tembakan bermula.

“Saya tinggal dekat dengan sempadan. Kami takut kerana mereka memulakan tembakan sekali lagi, kira-kira jam 6 pagi,” kata Pro Bak, 41, kepada AFP.

Beliau membawa istari dan anak-anaknya ke kuil Budha bagi mencari tembat berlindung.

“Saya tidak tahu bila boleh pulang,” katanya.

Wartawan AFP juga melihat anggota tentera yang mengendalikan pelancar roket bergegas ke sempadan.

Pertempuran itu menandakan peningkatan pertikaian antara kedua-dua negara yang berkongsi sempadan sepanjang 800 kilometer, yang mana ia merupakan destinasi popular pelancong,

Pertempuran telah berlaku di beberapa kawasan dipertikai antara 2008 hingga 2011 menyebabkan sekurang-kurangnya 28 orang terkorban dan beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal.

Pada 2013, PBB memutuskan perkara itu tetapi krisis semasa tercetus pada Mei lalu apabila tentera Kemboja terbunuh dalam pertempuran baharu.

Semalam, pertempuran memberi tumpuan pada enam lokasi, menurut tentera Thailand, termasuk dua di kawasan sekitar kuil.

Tentera darat yang disokong kereta kebal digunakan untuk menguasai kawasan, manakala Kemboja melancarkan roket dan mengebom ke kawasan Thailand manakala negara itu mengerahkan jet pejuang F-16 untuk menghentam sasaran tentera di sempadan.

Kedua-dua pihak menyalahkan antara satu sama lain siapa yang melepaskan tembakan pertama, ketika Thailand menuduh Kemboja menyasarkan infrastruktur awam, termasuk hospital dan stesen minyak yang dibom sekurang-kurangnya sekali oleh roket.

Pertempuran semalam berlaku beberapa jam selepas Thailand mengusir Duta Kemboja dan memanggil pulang envoinya selepas lima anggota Thailand yang meronda cedera akibat jerangkap samar.

Semalam Kemboja mengurangkan hubungan kepada ‘tahap paling rendah’ dengan memanggil pulang semua diplomatnya, kecuali seorang, dan mengusir diplomat Thailand dari Phnom Penh.

Sumber diplomati memberitahu AF bahawa Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet meminta Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar hari ini bagi membincangkan pertempuran maut itu. – AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast