SEGAMAT – Polis tidak menolak kemungkinan terdapat unsur khianat dalam kes wanita warga emas rentung dalam kebakaran lima rumah di Jalan Francis Khoo, Bukit Siput di sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, siasatan pihaknya mendapati kejadian itu berlaku dipercayai ada unsur khianat.
“Bagaimanapun siasatan lanjut masih lagi dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam kejadian tersebut, mangsa, Tan Ah Gek, 73, ditemui rentung dalam kebakaran melibatkan lima buah rumah dan lima buah kenderaan di jalan berkenaan.
Ahmad Zamry berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran melibatkan deretan rumah berkenaan kira-kira pada pukul 4.30 pagi.
Hasil siasatan di tempat kejadian katanya , kejadian berlaku pukul 4.15 pagi selepas seorang penghuni rumah iaitu lelaki warga tempatan melihat api di garaj rumahnya.
“Saksi telah mengejutkan ahli keluarganya untuk menyelamatkan diri. Bagaimanapun ibu mentuanya telah masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil barang dan tidak keluar semula dipercayai terperangkap dalam rumah,” ujarnya.
Kebakaran itu memusnahkan rumah dan kenderaan berjaya dikawal pukul 8 pagi sebelum mayat seor warga emas itu ditemui rentung di ruang dapur rumah.
Mayat itu kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Segamat untuk bedah siasat, kes disiasat bawah Seksyen 304A dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan.
Polis menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian itu untuk menyalurkan di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Segamat 07-9324222.- MalaysiaGazette
















