JOHOR BAHRU – Moyang kepada kanak-kanak lelaki yang ditemui mati ditanam di Rompin semalam, menyifatkan cicitnya itu sebagai seorang yang bijak, pandai berbahasa Inggeris dan penyayang.
Warga emas tersebut yang enggan dikenali berkata, amat sukar untuk keluarganya menerima hakikat A. Tishant, 6, sudah tiada.
Dia amat terkilan dengan nasib menimpa cicitnya itu apabila menerima berita duka malam tadi.
“Dia memanggil saya dengan gelaran pai patti atau periya patti (moyang). Tidak sangka cicit saya diperlakukan seumpama itu hingga rupa asalnya sudah berubah.
“Tengok rupanya berubah sedangkan dia seorang yang ceria, manis serta manja. Saya tidak tahu berapa lama dia tertimbus dalam tanah, sanggup ada orang yang melakukan perkara seperti itu.
“Malangnya kejadian berlaku beberapa hari selepas dia dibawa oleh bapanya,” katanya ketika ditemui di Jalan Rimbun, Bandar Seri Alam, Masai di sini malam ini
Warga emas berkenaan berkata, sejak mengetahui Tishant sudah tiada, ibu mangsa berdepan trauma.
“Dia (cucu kepada saya) dan anak saya (nenek mendiang) tidak sihat. Mak Tishant memang sayang teramat anaknya serta gemar merakam gambarnya.
“Kami tidak dapat membayangkan bagaimana dia akan harungi hidup pada masa akan datang. Kami hanya mampu mendoakan keadaan ini berubah walaupun kami juga bukan kuat berdepan situasi ini,” katanya.
Dalam pada itu, saudara mara, keluarga terdekat mendiang Tishant mula berkumpul di kediaman neneknya di Bandar Seri Alam, Masai di sini mulai pukul 7 petang tadi.
Van mayat yang membawa mendiang dari Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau tiba ke kediaman itu pukul 9.30 malam.
Bagaimanapun keluarga mendiang tidak menyenangi kehadiran pihakmedia dan memohon tidak membuat liputan.
Difahamkan upacara pengembumian akan diadakan mulai pukul 8 pagi esok dan akan dibawa ke Krematorium Hindu di Jalan Kebun Teh di sini pada pukul 10.30 pagi bagi upacara pembakaran mayat.
Malam tadi, media melaporkan mayatnya yang dilaporkan hilang di kawasan Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor, pada 24 Julai lalu ditemui ditanam di kawasan Rompin, Jempol, Negeri Sembilan.
Penemuan mayat kanak-kanak itu susulan penahanan bapanya iaitu suspek utama berusia 36 tahun oleh polis Johor, hari ini.
Mangsa sebelum ini tinggal bersama ibu bapanya di kediaman keluarga di Jalan Tasek 28, Bandar Seri Alam, Masai di sini.
Murid tadika itu juga merupakan anak tunggal kepada pasangan berkenaan yang berusia 30-an.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, ibu mangsa membuat
suatu laporan polis mendakwa suaminya memukulnya dan membawa keluar anaknya dari rumah.
Beliau berkata, siasatan dibuka di bawah Seksyen 323 KK dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumahtangga. – MalaysiaGazette
















