Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sangat memandang serius pengesanan 100,000 alamat protokol internet (IP) dari Malaysia yang mengakses laman web berkaitan pornografi kanak-kanak sepanjang 2024.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya mengambil tindakan tegas dan menyeluruh secara berterusan untuk membanteras jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaksanakan operasi bersepadu terhadap kes-kes melibatkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak secara dalam talian.

“Melalui Op Padu Bersepadu PDRM-SKMM bertujuan untuk melumpuhkan kegiatan ini,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

Iskandar meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan usaha-usaha yang telah dilaksanakan KDN susulan pengesanan lebih 100,000 alamat IP dari Malaysia yang telah mengakses laman web pornografi kanak-kanak bagi 2024.

Shamsul juga berkata, hasil operasi bersepadu itu, pihaknya menahan 13 individu telah dan didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Akta Keseksaan.

Selain itu, KDN juga melaksanakan operasi bersepadu di peringkat antarabangsa melibatkan enam negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun melalui “Operation Cyber Guardian”.

“Operasi ini membawa kepada penangkapan ke atas empat individu dan didakwa di bawah seksyen yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, PDRM dengan kerjasama SKMM menyekat ratusan laman web termasuk iklan yang memaparkan kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak yang dijalankan secara berterusan.

“Kita juga mengadakan kerjasama rentas agensi dan antarabangsa, PDRM turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang global yang menganggotai Ireland Crime Agency Children International Taskforce.

“Ia diterajui Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dengan memberi tumpuan kepada usaha memerangi eksploitasi seksual dan pemerdagangan kanak-kanak secara dalam talian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast