KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan, tiada campur tangan mahkamah asing dengan urusan kehakiman negara susulan pengenalan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi Rentas Sempadan 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berkata, RUU itu tidak menghakis kedaulatan undang-undang negara.
“Kemungkinan campur tangan mahkamah asing dalam urusan kehakiman negara susulan pengenalan RUU ini, sukacita saya tegaskan bahawa kefahaman tersebut adalah tidak tepat.
“Ia merupakan undang-undang bersifat prosedur selaras dengan izin, UNCITRAL Model Law on Cross-Border Insolvency (MLCBI).
“RUU itu dibina berasaskan empat prinsip utama iaitu akses, bantuan, pengiktirafan dan penyelarasan dan kerjasama,” katanya ketika menggulung RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025 pada sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian, mengulas kebimbangan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan dan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob yang membangkitkan kebimbangan itu semasa membahaskan RUU tersebut.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, RUU membolehkan pentadbir asing memohon kepada Mahkamah Tinggi Malaysia, namun segala keputusan kekal di bawah kawalan mahkamah tempatan.
“RUU ini membolehkan mahkamah memberikan bantuan sementara atau lanjutan berdasarkan budi bicara kehakiman dan pertimbangan kepentingan tempatan,” katanya.
Selain itu, katanya, RUU itu menetapkan bahawa prosiding asing tidak diiktiraf secara automatik, sebaliknya tertakluk kepada syarat undang-undang dan perintah mahkamah.
“Prinsip penyelarasan dan kerjasama hanya terpakai dalam konteks komunikasi rasmi antara mahkamah atau pentadbir, yang tetap dikawal dan diadili menurut kerangka perundangan Malaysia.
“Maka, tidak timbul soal kompromi terhadap kedaulatan negara, bahkan RUU ini memperkukuh peranan Mahkamah Malaysia dalam mendepani cabaran insolvensi rentas sempadan secara tersusun, berhemah dan diyakini antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette
















