PASIR GUDANG – Suasana hiba menyelubungi kediaman keluarga budak yang ditemui mati ditanam di Jalan Rimbun, Bandar Seri Alam, Masai di sini hari ini.
Kira-kira 100 kenalan rapat dan saudara-mara hadir menyaksikan pengebumian T. Tishant yang bermula pukul 9 pagi bagi memberi penghormatan terakhir kepadanya.
Kenderaan pelbagai guna (MPV) yang membawa jasad mendiang dari kediaman berkenaan ke Krematorium Hindu di Jalan Kebun Teh di sini bertolak pukul 10. 42 pagi.
Kira-kira 10 kenderaan ahli keluarga turut mengiringi kereta mayat berkenaan.
Bagaimanapun keluarga mendiang tidak menyenangi kehadiran ahli media dan memohon tidak membuat liputan.
Difahamkan upacara pembakaran mayat bermula tengah hari ini.
Malam kelmarin, media melaporkan mayat kanak-kanak itu yang dilaporkan hilang di kawasan Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri pada Khamis lalu ditemui ditanam di kawasan Rompin, Jempol, Negeri Sembilan.
Kanak-kanak yang ditemui ditanam bapanya di Rompin itu disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dengan tekanan pada leher.
Hasil bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak lelaki itu mendapati mangsa maut akibat jerutan menggunakan pengikat kabel.
Proses bedah siasat dimulakan pada pukul 12 tengah hari semalam di Unit Forensik Hospital Rembau, sebelum mayat dibawa keluar sekitar pukul 4.26 petang semalam.
Moyang budak ditemui mati ditanam tak sanggup tengok keadaan Tishant
Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti motif kejadian, namun berdasarkan soal siasat awal, suspek dipercayai berdepan masalah rumah tangga dan dalam proses perceraian.
Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Terdahulu, Tishant, dilaporkan hilang di Johor Bahru pada Khamis lalu sebelum mayatnya ditemukan tertanam di belukar dekat Rompin, Jempol, kelmarin.
Seorang lelaki berusia 36 tahun yang juga bapa kandung mangsa ditahan dan kini direman Polis Kontinjen Johor selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Suspek sebelum ini membuat laporan polis mendakwa anaknya hilang selepas ditinggalkan dalam kereta ketika dia keluar membeli makanan.- MalaysiaGazette
















