Nur Jazlan ketika berucap dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed mempersoalkan cadangan membawa semula Datuk Seri Hishammuddin Hussein ke pangkuan parti.

Beliau tidak bersetuju dengan pandangan bahawa bekas Naib Presiden UMNO itu dapat menyelamatkan parti tersebut sekiranya kembali dalam UMNO.

“(Jika Hishammuddin dibawa masuk kembali dalam UMNO) nak selamatkan UMNO apa? Apa yang dia buat masa kita kalah (dalam pilihan raya) dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sebelum ini, UMNO Bahagian Kluang mengemukakan usul merayu agar Hishammuddin yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong ditamatkan penggantungannya tanpa syarat.

Susulan itu beberapa bahagian lain di negeri ini turut mengemuka usul yang sama kerana dilihat dapat membantu menguatkan semula UMNO terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.

Hishammuddin kemudian dilaporkan memberikan bayangan beliau tidak akan merayu penggantungan keahliannya dengan menegaskan, rayuan bukan penentu kesetiaannya kepada UMNO.

Beliau dilaporkan berkata, tidak pernah mengemukakan rayuan terhadap penggantungannya selama enam tahun itu sejak Januari 2023 kerana mendakwa tidak diadili sebaiknya dan enggan menggadaikan prinsip yang dipegang.

Sementara itu, Nur Jazlan berkata, UMNO tidak boleh lagi berada dalam keadaan play safe untuk memilih pemimpin pada masa depan.

Jelas beliau, sebaliknya perlu memilih pemimpin yang agresif termasuk mereka yang lantang bersuara.

“Kita tidak boleh pilih cara lama, kalau ada pertuturan (pemimpin) pedas, kita kena terima, ini bukan masa nak play safe, dulu play safe sekarang tak boleh lagi, kena lebih agresif,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Jazlan tidak menafikan parti itu sudah rosak dan perlu berusaha mencari jalan untuk kembali diterima rakyat.

Menurutnya, UMNO memerlukan pemimpin yang bijak berpolitik, berpendidikan tinggi dan berhemah untuk ‘hidup’ semula.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. bukan boleh di layan hishamudin ni. gunting dalam lipatan. tidak ada semangat umno bn. dia dapat imbuhan dari pada muhyidin rasanya

Comments are closed.