KUALA LUMPUR – Isu kekurangan tenaga kerja dalam institusi kesihatan awam dilihat tiada kesudahan, dan keadaan ini dikaitkan dengan pengagihan sumber yang tidak seimbang.
Walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) giat melakukan transformasi, kekurangan perubahan sistemik dan kerjasama rentas kementerian menyebabkan isu utama gagal diselesaikan.
Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lee Boon Chye memberitahu Oriental Daily bahawa sehingga akhir 2023, hospital kerajaan menggaji kira-kira 52,000 doktor, dengan 30,000 daripadanya merupakan doktor kontrak.
Beliau berkata, kira-kira 1,000 doktor, termasuk 200 doktor pakar, bersara atau berhenti setiap tahun.
Menurut Boon Chye, walaupun jumlah graduan perubatan di Malaysia telah menurun secara berperingkat daripada 5,000 setahun kepada 3,000 setahun, jumlah ini masih mencukupi untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan. Oleh itu, isu kekurangan doktor tidak sepatutnya berlaku.
Namun, beliau menegaskan masalah utama adalah ketidakseimbangan dalam pengagihan sumber yang mengakibatkan kemelut dalam perkhidmatan perubatan.
Tambah beliau, isu paling sukar adalah semua jawatan dalam KKM dikawal dan disemak oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Jumlah jawatan yang diluluskan dalam KKM telah dibekukan pada tahap 280,000 orang semasa era pentadbiran Tun Abdullah Badawi.
Pada 2018, semasa pentadbiran Pakatan Harapan, jawatan hanya ditambah sekitar 10,000 hingga 20,000 selepas disemak selama dua tahun.
“Hakikatnya, perkhidmatan KKM telah semakin meningkat dengan hospital dan klinik baharu, tetapi jumlah kakitangan kesihatan dan pentadbiran tidak ditambah seiringan,” katanya.
Keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa hanya mampu memindahkan sumber yang terhad ke tempat yang berlaku kekurangan, yang akhirnya membawa kepada pengagihan tenaga kerja yang tidak sepatutnya dan menyebabkan kehilangan tenaga.
Beliau memberi contoh, seorang doktor yang ingin menjadi pakar bedah mungkin ditugaskan ke Pediatrik kerana kekurangan tenaga di situ.
“Pengalaman di Pediatrik tidak dapat dijadikan syarat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pembedahan, ini bermakna doktor berkenaan telah membazir beberapa tahun,” jelasnya.
Boon Chye mengakui wujud kelemahan dalam sistem pentadbiran KKM sehingga gagal menyediakan laluan kerjaya yang jelas antara graduan perubatan, doktor kontrak, dan doktor pakar.
Tambahnya lagi, proses pendigitalan adalah perlahan dan tidak dapat mengurangkan beban staf kesihatan secara berkesan.
Beliau juga tidak bersetuju bahawa tawaran yang lebih lumayan dari negara jiran adalah punca utama kekurangan staf kesihatan di Malaysia.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa kekurangan jaminan dalam kerjaya dan peluang melanjutkan pengajian, serta sistem yang terlalu rigid adalah punca utama kehilangan bakat. – MalaysiaGazette

















Nobody from politician when became gomen willing to change KKM system because they dont need to use GH services. They went to.private hospitals.