PUTRAJAYA – Malaysia tidak bersetuju dengan sebarang bentuk rundingan selagi konflik yang berlaku di Gaza tidak dihentikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pendirian Malaysia jelas dalam hal ini yang mana genosid perlu dihentikan serta-merta.
“Pendirian kita jelas, hentikan keganasan hentikan genosid, hentikan pembunuhan, hentikan penjajahan ke atas Gaza dan Palestin. Tak ada rundingan sebelum itu.
“Mana boleh kita runding dengan orang yang bunuh hari-hari… kamu datang rumah saya, kamu rampas bunuh anak, isteri saya…kemudian kata boleh ke tak boleh kita runding. Tidak mungkin itu berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas solat Jumaat di Kompleks Nasyrul Quran di Presint 14, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Lembaga Penasihat Yayasan Restu/Nasyrul Quran, Tan Sri Dr Aseh Che Mat.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini berkata, Malaysia kekal menyatakan sokongan bagi mendapatkan sebuah negara Palestin yang merdeka, namun langkah itu perlu dicapai tanpa melibatkan sebarang penetapan prasyarat tertentu.
Katanya, Malaysia melahirkan rasa kurang selesa terhadap hasil Deklarasi New York bagi menubuhkan negara merdeka Palestin ekoran prasyarat digariskan bercanggah dasar luar Malaysia.
“Kita punya sokongan untuk mendapatkan sebuah negara Palestin yang merdeka, itu memang sokongan daripada dulu lagi.
“Jadi, kita kurang selesa, saya kata bukan tidak sokong, cuma kurang selesa dengan Deklarasi New York, dapatan dia. Kerana ada 122 buah negara menyokong usul itu di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Malaysia.
“Tetapi, bila buat dapatan, dia tidak bawa perbincangan bersama kepada seluruh anggota PBB yang menyokong ataupun tidak menyokong,” katanya.
Malaysia sebelum ini menyatakan sokongan terhadap usaha The Hague Group dalam mencari penyelesaian jangka panjang terhadap konflik di Gaza, namun mengambil pendekatan berhati-hati terhadap prasyarat serta kandungan Deklarasi New York yang sedang dibahaskan di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette
















