SEREMBAN- Enforcement Leadership and Management University (ELMU) yakin Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan Universitas
Pembangunan Nasional “Veteran” Yogyakarta (UPNVY) Indonesia akan memperluas jaringan antarabangsa dalam bidang pendidikan antara Malaysia dan Indonesia.
Naib Canselor ELMU, Profesor Datuk Dr. Kassim Noor Mohamed berkata, MoU ini merupakan simbol kepada nilai bersama, aspirasi akademik serumpun, serta usaha
memperkukuh hubungan antara rakyat Malaysia dan Indonesia.
“ELMU amat berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama dengan institusi ternama seperti UPNVY. Walaupun ELMU sebuah universiti yang masih muda, asasnya dibina oleh para veteran berpengalaman yang teguh dengan nilai integriti dan transformasi.
“Melalui kerjasama ini, ELMU dan UPNVY akan melaksanakan penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah, pertukaran pelajar dan pensyarah, serta penganjuran
bengkel dan persidangan serantau, khususnya dalam bidang sains penyiasatan, sains tanah, pembangunan mampan dan tadbir urus awam,” katanya dalam satu kenyataan
yang dikeluarkan di kampus ELMU di Bandar Enstek di sini hari ini.
MoU itu telah ditandatangani oleh Datuk Dr. Kassim bersama Rektor UPNVY, Prof. Dr. Mohamad Irhas Effendi di Bangunan Rektorat UPNVY di Yokyakarta hari ini.
Dr. Kassim menekankan kepentingan MoU tersebut dalam memperkasakan peranan ELMU sebagai institusi perintis dalam pendidikan kepimpinan dan penguatkuasaan sejajar dengan aspirasi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk memperkukuh integrasi strategik serantau.
“Kerjasama ini melangkaui sempadan dan didasari semangat tanggungjawab bersama, ketelusan dan perpaduan ASEAN. Melalui MoU ini, ELMU dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan strategik ilmu yang komited terhadap perubahan serantau, sejajar dengan pendidikan beretika, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), dan inovasi dalam tadbir urus di rantau Asia Tenggara,” ujarnya.
Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya, Dr. Mohamad Irhas berkata, penandatanganan MoU itu merupakan satu saat bersejarah yang menandakan
bermulanya hubungan baik antara UPNVY dan ELMU.
“Kami yakin bahawa kolaborasi ini akan memberikan kesan positif yang signifikan bagi kedua-dua institusi, khususnya dalam mewujudkan Tri Dharma Perguruan Tinggi (Tiga Teras Pendidikan Tinggi) yang meliputi pendidikan, penelitian, dan pengabdian kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berharap penandatanganan MoU itu tidak hanya berhenti pada dokumen semata-mata, namun dapat diambil tindakan lanjut dengan pelaksanaan program-program konkrit.
“Saya percaya, dengan semangat kebersamaan dan saling menguntungkan, kita dapat mewujudkan berbagai-bagai kegiatan yang telah dirancang dan memberikan
manfaat nyata bagi mahasiswa, pensyarah serta masyarakat,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















