KUALA LUMPUR – Sekumpulan penyelidik dari Unit Biodiversiti, Institut Biosains (IBS), Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan Losyen Zan Insect, sejenis losyen pelindung serangga berasaskan herba.
Penyelaras Unit Biodiversiti IBS, Dr. Khairil Mahmud berkata, pihaknya menjalankan kajian intensif terhadap potensi tumbuhan herba sebagai alternatif perlindungan kulit yang lebih selamat dan lembut, termasuk untuk bayi.
“Sejak awal penubuhan unit ini, kami memang aktif dalam penyelidikan berasaskan herba. Kami percaya herba tempatan masih menyimpan banyak rahsia kesihatan yang boleh dimanfaatkan secara moden,” katanya.
Sebelum ini, IBS pernah memperkenalkan bunjut mandian herba yang mendapat sambutan hangat.
Losyen Zan Insect ini juga bertindak melembapkan kulit, meredakan kegatalan dan mempercepatkan penyembuhan luka ringan.
“Kami hasilkan formulasi ini berdasarkan kajian terperinci. Ujian makmal menunjukkan ia dapat menghalang pembiakan bakteria pada kulit sambil menghasilkan aroma semula jadi yang tidak digemari serangga,” tambah Dr. Khairil.

Pegawai Sains IBS, Julia Aziz, yang terlibat dalam pembangunan produk ini berkata, pendekatan mesra pengguna menjadi keutamaan sejak dari awal.
“Kami mahu sesuatu yang sesuai untuk semua peringkat umur, termasuk bayi. Gabungan minyak serai wangi dan minyak argan menjadikan aromanya lembut dan tahan lama, sangat sesuai untuk aktiviti luar seperti berkebun, berkhemah atau bersantai di laman rumah,” katanya.
Formulasi ini membawa pendekatan enam dalam 1, melindungi, melembap, melegakan, merawat, menyegarkan dan menenangkan kulit serta bebas bahan kimia berbahaya.
Melihat kepada maklum balas awal pengguna, ramai memberikan respons positif dan melakukan pembelian berulang. Ada yang menyifatkannya sebagai “killer product” kerana berkesan dan selesa digunakan.
Produk ini kini boleh didapati terus daripada pihak IBS UPM dalam tiga pilihan saiz, 20ml, 50ml dan 100ml serta dalam dua set cenderamata yang turut memuatkan sabun herba dan tapak sabun kayu.
Diperakui berkesan dan selamat digunakan pada bayi, Losyen Zan Insect bukan hanya pelindung daripada serangga, tetapi lambang komitmen UPM dalam memperkasakan sains alam semula jadi untuk kesejahteraan masyarakat. – MalaysiaGazette
















