JERANTUT – Hampir 200 penduduk termasuk 27 keluarga suku kaum Batek, di penempatan baharu mereka di Kampung Orang Asli Sungai Bengoi Taman Negara Kuala Sat, Pahang, menerima kunjungan warga Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Universiti Sains Malaysia (USM).

Penempatan yang telah didiami sejak enam tahun lalu selepas pemindahan, menjadi lokasi Misi Komunikasi, Program Khidmat Masyarakat 2025 yang bertujuan mengeratkan hubungan universiti dengan komuniti serta menyalurkan bantuan dan keperluan harian.

Majlis turut mendapat sokongan padu daripada Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin serta Dekan PPK USM, Prof. Madya Dr. Bahiyah Omar yang menyifatkan misi tersebut berperanan dalam membina jambatan antara akademia dan masyarakat.

Sementara itu, Penasihat Program, Dr Noorazlina Yusof berkata, pendekatan sedemikian membuka peluang yang lebih luas dan bukan sekadar memberi bantuan fizikal.

“Pendekatan sebegini bukan sahaja memberi bantuan fizikal, malah membuka peluang kepada anak-anak suku kaum Batek untuk berinteraksi dan belajar dengan lebih terbuka,” katanya.

Antara pengisian program termasuk menyantuni warga Komuniti Orang Asli, mengadakan permainan interaktif, dan sumbangan makanan serta barangan keperluan kepada setiap keluarga.

Dengan sambutan positif daripada komuniti Batek dan sokongan daripada pelbagai pihak, Misi Komunikasi ini berjaya meninggalkan kesan mendalam. Bagi penduduk, ia bukan sekadar kunjungan, ia adalah satu tanda bahawa mereka tidak dilupakan.

Melangkah ke hadapan, semua pihak berharap agar program seperti ini menjadi inspirasi kepada lebih banyak institusi pendidikan dan organisasi untuk bersama-sama memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast