KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini mengorak langkah sebagai peneraju dalam pembangunan sukan berasaskan teknologi dengan memperkasakan
pendekatan analisis genetik dan data kesihatan dalam pematauan prestasi serta pembangunan atlet sabah.
Inisiatif ini dinyatakan semasa lawatan rasmi Perbadanan Sukan Sarawak ke UMS di Pusat HEAL, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), baru-baru ini.
Pendekatan ini dijangka mampu mengubah landskap pemilihan atlet di Sabah melalui program pemantauan fizikal berdasarkan analisis saintifik termasuk daya tahan
kardiovaskular, kekuatan otot, pergerakan fungsional, dan keseimbangan postur.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, UMS bersedia menjadi pusat kecemerlangan sukan serantau melalui kemudahan seperti Hospital Pengajar
UMS (HPUMS) dan penyelidikan berimpak tinggi di bawah unit Healthy Through Active Living (HEAL).
“UMS kini sedang giat membangunkan HPUMS yang bakal menjadi pusat rujukan kesihatan moden bukan sahaja untuk Sabah dan Borneo, tetapi juga untuk rantau
Asia Tenggara.
“Menariknya, Heal juga telah memulakan inisiatif penyelidikan yang signifikan iaitu pembangunan sistem Talent Identification (Talent ID) berasaskan analisis genetik yang bertujuan untuk mengenal pasti potensi atlet sejak awal,” katanya.
Tambah Kasim, melalui pendekatan tersebut juga, kumpulan penyelidik HEAL yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. D. Maryama akan berusaha mengenal pasti potensi
bakat sukan dari peringkat awal, sekali gus berpotensi besar untuk meningkatkan pembangunan bakat sukan terutama bagi komuniti luar bandar yang sering berdepan keterbatasan akses kepada kemudahan latihan dan pengesanan bakat konvensional.
“Lawatan rasmi ini dilihat bukan sahaja dapat memperkukuh hubungan baik antara dua negeri serumpun Sabah dan Sarawak, malah ia juga mampu membuka potensi
kerjasama strategik dalam pembangunan sukan, latihan profesional, penyelidikan klinikal sukan serta kesihatan komuniti,” tambahnya.
UMS juga menyatakan keterbukaan untuk menjadi rakan strategik kepada Perbadanan Sukan Sarawak dalam menjayakan agenda pembangunan atlet dan kesejahteraan komuniti berasaskan sains dan teknologi. – MalaysiaGazette
















