Zambry Abd Kadir menurunkan tandatangan sempena peluncuran Program Rumah Rezeki UMT.

 

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melonjakkan lagi agenda kelestarian dan kebajikan pelajarnya dengan peluncuran Kompleks Akademia
bernilai RM15 juta, Program Rumah Rezeki UMT serta lawatan Menteri Pendidikan Tinggi meninjau kemajuan projek tebatan banjir bernilai RM40 juta di sekitar kampus.

Majlis sempena Program Semarak Kampus Madani itu disempurnakan oleh Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir yang memuji usaha UMT menggabungkan inovasi hijau,
kebajikan pelajar dan keselamatan kampus dalam satu hala tuju pembangunan mampan.

Kompleks Akademia setinggi empat tingkat seluas 3,782.70 meter persegi itu menempatkan 163 bilik termasuk bilik pensyarah, mesyuarat, surau, bilik keselamatan, tandas, ruang tetamu, stor, lobi dan pantri.

Bangunan itu dilengkapi ciri bangunan hijau seperti pencahayaan dan pengudaraan semula jadi, tadahan air hujan, lampu dan panel solar, sistem kad akses penjimatan tenaga serta parkir grass pavement telap air.

Rumah Rezeki UMT pula menyediakan bantuan makanan dan barangan asas percuma kepada pelajar memerlukan, khususnya B40, dengan sokongan Dapur HEPA yang
menyediakan makanan siap dimasak. Tahun ini, RM100,000 diperuntukkan bagi Dana Siswa yang membantu 500 pelajar, manakala 1,073 pelajar menerima baucer makanan
percuma.

Projek tebatan banjir yang sedang dibangunkan di sekitar kampus dijangka memberi perlindungan jangka panjang terhadap infrastruktur universiti sekali gus memastikan kelancaran pengajaran dan pembelajaran walaupun pada musim tengkujuh.

UMT kini mengukuhkan reputasinya di peringkat nasional dan antarabangsa menerusi kepakaran dalam bidang kelautan, inovasi lestari dan pemuliharaan marin yang diiktiraf global, sejajar dengan aspirasi Kampus Madani berimpak tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast