Serbuan di empat lokasi sekitar Taman Maluri kegiatan mengubahsuai dan mencetak slip e-PLKS. Foto Imigresen

KUALA LUMPUR – Berselindung di sebalik kedai membaiki telefon dan kedai runcit dengan menjalankan kegiatan mengubahsuai dan mencetak slip e-PLKS berjaya dipatahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Isnin lalu.

Serbuan menerusi operasi khas bermula  8.30 malam itu dilakukan di empat lokasi sekitar Taman Maluri di sini melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Ketua pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, serbuan dilakukan berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu sebelum pasukan diatur gerak ke lokasi.

“Kita telah menahan seramai 19 warga asing berusia lingkungan 18 hingga 43 tahun melibatkan 16 lelaki warga Bangladesh dan tiga lelaki warga Myanmar.

“Modus operandi kegiatan itu adalah menyasarkan warga Bangladesh dan Myanmar dan mereka telah beroperasi selama setahun.

“Kadar bayaran dikenakan sebanyak RM100 untuk mencetak slip e-PLKS yang diubahsuai mengikut pasport pemilik disyaki tidak memiliki pas sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara barang dirampas dalam serbuan kegiatan ubah dan cetak slip e-PLKS. Foto Imigresen

Semakan awal mendapati, dua lelaki warga Bangladesh telah tinggal lebih masa manakala 14 lelaki warga Bangldesh dan tiga warga Myanmar tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini.

“Pasukan operasi turut menyita wang tunai berjumlah RM11,357 disyaki hasil dari aktiviti haram, slip e-PLKS, tiga naskhah pasport Bangladesh, tiga unit komputer riba, tiga unit mesin pencetak.

“Ia termasuk tiga unit kamera litar tertutup (CCTV), salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Salinan Lesen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan dua unit telefon bimbit,” ujarnya.

Kesemua tahanan telah dibawa ke depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan kes disiasat Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

“Seorang lelaki dan empat perempuan warga tempatan serta seorang lelaki warga Bangladesh telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” jelasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast