KUALA LUMPUR – Syarikat Malik Streams Corporation Sdn Bhd (MSCSB) dan pengasasnya, Datuk Abdul Malik Dasthigeer telah mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun Instagram Filmy React berhubung dakwaan berunsur fitnah yang dimuat naik di platform media sosial tersebut.
Menurut notis tuntutan yang dikeluarkan oleh firma guaman Vasdev Bakshani & Associates, akaun berkenaan didakwa telah menyiarkan beberapa hantaran termasuk video, gambar dan kenyataan di Instagram pada 22 dan 23 Ogos lalu.
Hantaran tersebut menuduh sebuah pertandingan anjuran MSCSB sebagai tidak sah, melabelkan syarikat itu sebagai scam serta menggesa orang ramai supaya menuntut bayaran balik.
Firma guaman itu menjelaskan kenyataan yang dibuat bukan sahaja palsu dan berniat jahat malah turut mencemarkan nama baik Abdul Malik sebagai ahli perniagaan di Malaysia dan luar negara.
Tuduhan berkenaan juga dianggap menjejaskan kredibiliti Malik Streams yang terlibat dalam pelbagai perniagaan termasuk hiburan dan penganjuran acara.
Dalam notis itu, pengendali tersebut diarahkan untuk menarik balik kesemua kenyataan terbabit serta membuat permohonan maaf bertulis kepada Malik Streams dan Abdul Malik.
Beliau juga diminta memuat naik hantaran baharu di akaun Instagram yang sama bagi menjelaskan tuduhan terdahulu adalah tidak benar di samping menggesa pengikutnya agar mengabaikan serta tidak menyebarkan semula kandungan berkenaan.
Pihak Malik Streams memberikan tempoh 24 jam kepada pengendali tersebut untuk mematuhi tuntutan itu.
Sekiranya gagal, syarikat itu tidak akan teragak-agak memulakan prosiding saman fitnah di mahkamah, termasuk menuntut ganti rugi kewangan dan perintah penyingkiran kandungan.
“Penyiaran kenyataan palsu yang mencemar nama baik individu atau syarikat adalah menyalahi undang-undang. Tindakan anda jelas memenuhi kriteria fitnah bertulis (libel),” menurut notis tersebut yang turut dikongsikan kepada MalaysiaGazette.
Notis itu turut menegaskan, penerima kini direkodkan secara rasmi di bawah tindakan undang-undang dan sebarang pelanggaran di masa hadapan akan dianggap sebagai perbuatan berniat jahat yang akan menguatkan kedudukan pihak Malik Streams di mahkamah. – MalaysiaGazette
















