KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai kurang siuman dan zalim kerana menghalang bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza.
Beliau berkata, Netanyahu sanggup melihat ramai rakyat Palestin mati kelaparan dan mereka yang cedera tidak mendapat rawatan dan ubat-ubatan dengan menghalangnya di sempadan.
“Netanyahu dan kelompoknya, memang kurang siuman, zalim, boleh pertahankan anak-anak kecil serupa Hamas, anak dua tahun berlari, ini Hamas.
“Ini penyakit (tidak siuman), malas kita bicara soal itu, harus kita bangkit,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Perdana pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka malam ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhar; Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.
Anwar juga mengingatkan rakyat Malaysia mengelakkan perpecahan dalam masyarakat dan melakukan sesuatu luar biasa supaya menjadi teladan kepada negara lain.
“Saya nak pesan kepada rakyat Malaysia, belajarlah daripada pengalaman ini, bahawa dengan kesatuan kita boleh lakukan dan suarakan apa yang jarang dan boleh dilakukan dan disuarakan oleh mana-mana negara lain.
“Sebab kita bersatu, sebab kita punya satu tekad, sebab kita benci dengan perpecahan, sebab kita mahu rakyat ini bangkit bersama,” katanya.

Katanya lagi, Malaysia boleh menjadi negara contoh kepada negara-negara lain dalam menjuarai isu-isu kemanusiaan.
“Negara ini maju supaya rakyat dapat selesa, negara ini maju dan makmur, supaya jadi contoh dan teladan kepada negara-negara lain, boleh belajar jaga keamanan, boleh bantu rakyat yang susah termasuk di Gaza.
“Jangan tanam bibit-bibit kebencian dan perpecahan dalam kalangan kita, bina kekuatan baharu.
“Anak-anak muda, saya pesan anak-anak muda harus bangkit jaga negara ini, biar benar merdeka, biar maju, biar naik martabat masyarakat bangsa dan negara, baru boleh maju dan bantu yang lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette















