Azizee.

GEORGE TOWN – Seorang pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) warga China kerugian RM847,843 akibat diperdaya sindiket penipuan phone scam yang menyamar sebagai pegawai keselamatan awam dari negaranya, awal bulan ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menerima laporan daripada mangsa berusia 29 tahun itu pada Khamis lalu berhubung kejadian.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki warga China pada 4 Ogos lalu, kira-kira jam 10.30 pagi yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Biro Keselamatan Awam Shanghai.

Jelasnya, suspek mendakwa terdapat bungkusan mengandungi kad pengenalan, kad kredit dan buku cek atas nama mangsa yang dihantar dari Malaysia ke China dan telah ditahan polis Shanghai.

“Mangsa kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu yang mengaku pegawai Biro Keselamatan Awam Hong An (China) sebelum suspek mendakwa akaun bank mangsa turut disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan dalam talian.

“Suspek mengarahkan mangsa membuat pemindahan wang ke beberapa akaun bank dan e-wallet kononnya untuk tujuan siasatan.

“Susulan itu, mangsa membuat 30 transaksi berjumlah RM847,843 ke 11 akaun bank tempatan serta tiga akaun mata wang kripto (USDT) berbeza antara 6 hingga 26 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, mangsa hanya menyedari ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada rakan sekelas sebelum tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Kita juga menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap panggilan telefon mencurigakan terutama yang meminta maklumat peribadi atau butiran perbankan.

“Jangan mudah percaya dengan panggilan menyamar sebagai pihak berkuasa atau institusi kewangan. Jika menerima panggilan seperti ini, jangan kongsi maklumat peribadi, segera hubungi pihak berkaitan untuk pengesahan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast