KUALA LUMPUR – Polis akan meneliti dakwaan berhubung seorang rakyat Malaysia ditahan bersama senjata api perang M4 dan ratusan butir peluru dalam kereta yang dipandunya di Sadao, Songkhla pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pegawainya akan dihantar ke Thailand untuk mendapatkan dakwaan lanjut berhubung perkara itu.
“Daripada siasatan itu kita akan mengenal pasti modus operandi suspek dan juga carta organisasi (kumpulan jenayah). Setakat ini, memang dia seorang sahaja yang ditahan. Insya-Allah kita akan dapat maklumat-maklumat berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Program Diploma Kepolisan (MQA) dan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (JPK) PDRM di sini hari ini.
Mengulas mengenai kawalan keselamatan di semua pintu sempadan, Mohd Khalid menegaskan, ia sememangnya diperketatkan dari semasa ke semasa.
“Bagaimanapun, kita masih lagi menyiasat perkara ini. Kita pun tidak tahu (tiada maklumat) bagaimana pergerakan (keluar masuk).
“Tapi secara biasa di sempadan memang keluar masuk itu agak biasa terutama dalam kalangan ahli perniagaan dan pihak tertentu yang mempunyai urusan.
“Rondaan juga akan dijalankan di sempadan. Apa yang berlaku ini adalah dakwaan pihak berkaitan. Insya-Allah kita punya sempadan masih lagi terkawal,” jelasnya.
Terdahulu, seorang rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand bersama senjata api perang jenis M4 dan ratusan butir peluru dalam kereta yang dipandunya di Sadao, Songkhla.
Suspek berusia 46 tahun ditahan ketika sekatan jalan raya yang dijalankan oleh anggota Balai Polis Daerah Sadao.
Sumber berkata, sekatan jalan raya itu dijalankan sebagai sebahagian daripada operasi pencegahan jenayah penyeludupan dadah serta ancaman keselamatan.
Pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Kia bernombor pendaftaran Malaysia itu menemui dua laras raifal M4; 300 butir peluru kaliber 5.56 mm; tujuh magazin peluru 5.56 mm; 100 butir peluru kaliber.45 mm dan 50 butir peluru kaliber 9 mm. – MalaysiaGazette
















