PETALING JAYA – Jaguh badminton dunia, Chen Tang Jie, bukan sahaja cemerlang di gelanggang, malah memiliki hati yang mulia.
Beliau aktif melakukan kerja amal, terutamanya semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).
Ibunya, Chen Keat Siew memberitahu, Tang Jie dan kakaknya sering melakukan kerja amal dengan menyumbangkan makanan dan barangan keperluan harian kepada golongan yang memerlukan.
“Malahan, semasa musim perayaan, kami akan menyediakan kuih dan Tang Jie akan menghantarnya ke rumah anak yatim dan rumah orang tua.
“Semasa ada kelapangan, Tang Jie juga menyertai badan kebajikan untuk beramal, termasuk mendermakan keranda untuk golongan yang memerlukan,” katanya kepada Sinchew Daily.
Menurut Keat Siew, aktiviti amal mereka tertumpu di kawasan Seremban kerana Tang Jie merupakan anak jati Negeri Sembilan.
Katanya, walaupun Tang Jie dilahirkan di Ipoh dan sering disalah anggap sebagai anak Perak, beliau sebenarnya orang Seremban.
“Selama ini, Tang Jie dan ahli keluarga yang lain selalu membantu pertubuhan kebajikan di Seremban, termasuk membantu anak yatim dan warga emas,” katanya.
Mengenai kejayaan anaknya di pentas dunia, Keat Siew berkata, beliau tidak pernah memberi tekanan kepadanya meskipun mengharapkan kejayaan Tang Jie.
“Walaupun memang mengharapkan dia akan mencapai kejayaan lebih besar, tetapi saya tidak pernah memberitahu hasrat ini.
“Tak sangka pula dia boleh menjadi juara dunia dan memberikan hadiah Hari Kemerdekaan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya.
Tang Jie dan pasangannya, Toh Ee Wei, dinobatkan sebagai juara dunia bagi acara beregu campuran selepas menewaskan wakil China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, 21-15, 21-14 pada final Kejohanan Dunia yang berlangsung Ahad lalu. – MalaysiaGazette
















