Trump berkata jet Venezuela yang mengancam tentera AS akan ‘ditembak jatuh’
WASHINGTON – Donald Trump mengancam untuk menembak jatuh jet tentera Venezuela jika ia mendatangkan bahaya kepada tenteranya, ketika Washington mengerahkan pesawat perang F-35 ke Puerto Rico sebagai sebahagian daripada perang presiden terhadap kartel dadah.
Sebanyak 10 pesawat akan menyertai kapal perang AS yang sedia ada di selatan Caribbean ketika Trump meningkatkan tekanan ke atas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, yang dituduh Amerika Syarikat mengetuai kartel dadah.
Kebuntuan semakin memuncak sejak beberapa hari kebelakangan ini apabila Pentagon berkata, dua pesawat tentera Venezuela terbang berhampiran sebuah kapal Tentera Laut AS di perairan antarabangsa pada hari Khamis yang disifatkan sebagai langkah “sangat provokatif”.
Ditanya hari Jumaat apakah langkah yang akan diambilnya jika terdapat insiden lanjut, Trump berkata: “Jika mereka meletakkan kami dalam kedudukan berbahaya, mereka akan ditembak jatuh”.
Tentera AS pada Selasa meletupkan bot dadah di Caribbean yang dikatakan Trump milik Tren de Aragua, sebuah pertubuhan jenayah Venezuela yang dikaitkan dengan Maduro, membunuh 11 orang.
Jet F-35 berteknologi tinggi sedang dikerahkan ke lapangan terbang di Puerto Rico, wilayah Pulau Caribbean yang memiliki populasi lebih tiga juta orang, sumber AS yang mengetahui perkara itu memberitahu AFP.
Pada awal bulan ini, Maduro mendakwa lapan kapal perang AS yang dilengkapi dengan 1,200 peluru berpandu sedang menyasarkan negaranya.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai ancaman jenayah dan berdarah, sekali gus mengancam keselamatan benua Amerika Latin.
AS sebelum ini menuduh Maduro mengetuai sebuah kartel dadah dan mengumumkan penempatan kapal perang di selatan Caribbean dalam operasi memerangi penyeludupan dadah.
Namun, Washington tidak pernah mengeluarkan ancaman terbuka untuk menyerang Venezuela.
Mengisytiharkan negaranya bersedia untuk “perjuangan bersenjata dalam mempertahankan wilayah negara,” Maduro telah menggerakkan tentera Venezuela, yang berjumlah sekitar 340,000, dan pasukan simpanan, yang didakwanya melebihi lapan juta.
“Jika Venezuela diserang, ia akan segera memasuki tempoh perjuangan bersenjata,” kata Maduro kepada wartawan asing.
Timbalan Ketua Staf White House, Stephen Miller membidas Maduro pada hari Jumaat yang disifatkan sebagai “pengedar dadah” dan mengatakan Venezuela dikendalikan oleh “kartel dadah, sebuah organisasi pengedar narkotik”.
Pada Selasa lalu, pasukan AS memusnahkan sebuah bot yang didakwa membawa dadah di Caribbean, yang menurut Trump milik kumpulan jenayah Venezuela, Tren de Aragua, yang dikaitkan dengan Maduro.
Serangan itu mengorbankan 11 individu.
Pada masa ini terdapat lapan kapal Tentera Laut AS yang terlibat dalam usaha memerangi narkotik di Amerika Latin: tiga kapal serangan amfibia, dua kapal pemusnah, sebuah kapal penjelajah dan sebuah kapal tempur pesisir di Caribbean, dan satu kapal pemusnah di Pasifik timur, kata seorang pegawai pertahanan AS minggu ini.
Jabatan Pertahanan – yang dijenamakan semula oleh Trump sebagai “Jabatan Perang” berkata, dua pesawat “rejim Maduro” terbang berhampiran kapal AS pada Khamis.
“Langkah yang sangat provokatif ini dilakukan untuk mengganggu operasi kaunter pengganas narkotik kami,” katanya di X namun tidak memberikan butiran lanjut.
Venezuela mempunyai 15 jet pejuang F-16 yang dibeli dari Amerika Syarikat pada 1980-an, ditambah dengan beberapa pejuang dan helikopter Rusia. – Agensi
















